10 NEGARA DENGAN UNDANG-UNDANG TRAFIK YANG PELIK

SHARE

Jika memandu di bandar-bandar asing negeri lain di Malaysia sudah memeningkan kepala anda, bayangkan bagaimana jika anda terpaksa memandu di negara asing. Bukan hanya mereka mempunyai sistem jalan raya yang berbeza malah ia juga mungkin membawa masalah lain seperti jalan raya yang tidak diturap dengan sempurna, papan tanda jalan yang aneh, had laju yang tidak masuk akal dan termasuklah kedudukan roda stereng di sebelah kiri. Itu belum termasuklah undang-undang jalan raya yang tidak masuk akal dan sesetengahnya agak kelakar seperti kami senaraikan di bawah.

1. THAILAND

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Kita mulakan dengan negara jiran kita, Thailand. Thailand mempunyai undang-undang yang menyatakan adalah satu kesalahan jika pemandu kenderaan sama ada lelaki ataupun wanita membuka baju mereka.

Dengan kata lain mesti sentiasa memakai baju tidak kira macam mana panas sekalipun cuaca. Semua pemandu tida kira bas, kereta, teksi ataupun “tuk-tuk” sekalipun mesti mematuhi peraturan ini.

2. AFRIKA SELATAN

NIsbah pemilikan kenderaan di Afrika Selatan cumalah sebuah kereta bagi setiap lima warganegara, tetapi masih mempunyai peraturan jalanraya yang ketat untuk memastikan bekalan daging negara itu sentiasa mencukupi.

Peraturan itu jelas menyatakan yang mana-mana pemandu yang memandu kenderaan di atas jalan raya awam mesti memberi laluan kepada kumpulan binatang ternakan yang diiringi pengembala. Denda sehingga USD500 mungkin dikenakan jika gagal mematuhi peraturan tersebut.

3. JEPUN

Tahukah anda bahawa adalah satu kesalahan jika anda menyimbah air kepada pejalan kaki sewaktu memandu di Jepun? Kami pun baharu tahu. Penguatkuasaan adalah lebih ketat pada bulan Jun berikutan angin kencang dan hujan membuatkan banyak lopak air bertakung di atas jalan raya.

Satu lagi peraturan pelik ialah bukannya suatu kesalahan bagi mana-mana individu yang cukup umur untuk meminum minuman keras di dalam kenderaan kecuali pemandu. Minum la banyak mana pun asalkan jangan memandu.

4. FILIPINA

Di Manila, orang ramai tidak dibenarkan memandu di sesetengah kawasan pada hari tertentu dalam seminggu berdasarkan digit terakhir pada nombor pendaftaran kereta mereka.

Contohnya jika nombor pendaftaran mereka berakhir dengan nombor 1 ataupun 2, mereka boleh disaman jika memandu di kawasan sesak pada waktu tertentu. Paris juga mempunyai undang-undang sebegini tetapi Manila sebagai sebuah bandar yang sentiasa dilanda hujan ribut lebih tegas menguatkuasakannya.

5. AMERIKA SYARIKAT

Amerika Syarikat tidak terkecuali mempunyai peraturan jalan raya yang pelik. Biasanya peraturan ini dikuatkuasa mengikut negeri.

Di Montana contohnya adalah menjadi satu kesalahan jika anda membawa kambing atau biri-biri di belakang trak tanpa penjaga bersama di belakang.

Di Alabama pula, memandu dengan menutup mata merupakan satu kesalahan (agaknya ramai warga kat sana suka tutup mata kot sambil memandu).

New Jersey juga mempunyai undang-undang yang tidak kurang pelik bila ia mewajibkan anda membunyikan hon sebelum memotong. Rasanya memang ramai yang akan keliru sama ada hon tersebut untuk bertegur sapa ataupun memang nak maki orang.

6. RUSSIA

Jika anda memandu kenderaan yang kotor di Russia, anda mungkin dikenakan saman sebanyak USD55 tanpa mengira kekotoran di bahagian luar ataupun dalam.

Asalnya undang-undang ini bertujuan memastikan nombor pendaftaran dapat dilihat dengan jelas sewaktu musim sejuk yang berais. Bagaimanapun undang-undang ini turut menimbulkan masalah di sana kerana anda juga dilarang membasuh kereta kecuali di rumah dan juga tempat mencuci kereta.

7. JERMAN

Kenal Autobahn? Tak kenal boleh Google.

Adalah menjadi satu kesalahan besar jika anda berhenti di mana-mana bahagian bahu jalan di lebuhraya ini kecuali dengan sebab kecemasan. Kehabisan petrol tidak dikira kecemasan dan masih lagi boleh dikenakan saman.

Ini kerana ia dianggap kecuaian pemandu itu sendiri dan akan didakwa kerana membahayakan diri sendiri dan orang lain dengan terpaksa berhenti di tepi lebuh raya.

8. SEPANYOL

Negara ini mempunyai undang-undang khusus untuk pemandu berkaca mata. Semua pemandu berkaca mata mesti menyimpan sepasang lagi cermin mata di dalam kenderaan semasa memandu.

Logiknya ialah jika mereka kehilangan cermin mata, mereka masih ada satu lagi set simpanan untuk digunakan. Walaupun peraturan ini digunapakai di seluruh negara, ia masih bergantung kepada budi bicara pegawai polis sama ada untuk mengenakan saman ataupun tidak.

9. PERANCIS

Semua pemandu di Perancis mesti membawa satu alat penguji kandungan alkohol dalam badan (breathalyzer) yang belum digunakan  sepanjang masa di dalam kenderaan.

Ia bertujuan untuk mengesan pemandu yang mabuk dan mengurangkan kos yang perlu ditanggung kerajaan dengan membeli alat tersebut. Nasib baik alat tu je, buatnya disuruh sediakan gari sendiri tak ke letih?

10. CYPRUS

Walaupun Cyprus merupakan sebuah pulau kecil di Mediterranean, ini tidak menghalang mereka mengenakan peraturan jalan raya yang ketat kepada pengguna.

Adalah menjadi kesalahan di Cyprus jika anda tidak memegang stereng dengan kedua-dua belah tangan. Anda mungkin dikenakan saman untuk itu.

Begitu juga dengan makan dan minum sambil memandu. Ini berikutan kadar kemalangan yang tinggi di negara tersebut memaksa kerajaan bertindak dengan lebih tegas.

BACA: UNDANG-UNDANG MENCILOK DILULUSKAN DI CALIFORNIA

BACA: 5 PERATURAN ANEH YANG BERHASIL KURANGKAN KEMALANGAN

Share this post

scroll to top