45 BUAH KERETA DICURI TANPA DISEDARI

infiniti-q60.jpg
SHARE

Ini satu lagi cerita tentang kecurian kereta. Dilaporkan sejumlah 45 buah kereta telah dicuri dari satu lokasi tanpa pengetahuan pemilik. Menariknya kisah ini berlaku di California, Amerika Syarikat yang seperti kita ketahui mereka mempunyai pelbagai agensi penguatkuasa yang sangat cekap seperti FBI, CIA, NCIS, CSI, dan macam-macam lagi.

Itu tak termasuk Sherif dan Perkhidmatan Rahsia lagi. CSI pun boleh dikira sebagai penyiasat yang canggih tapi 45 buah kereta hilang tapi tak disedari ni memang kelakar. Ia melibatkan kecurian 45 unit Infiniti Q60 model 2017. Banyak kan? Model baru pulak tu.

BACA: ALAT KHAS PENCURI UNTUK SISTEM PUSH START

BACA: 9 TIPS ELAK KECURIAN DARI BEKAS PENJENAYAH

Kejadian beraku pada 5 Disember lepas di mana Jabatan Polis Redondo Beach telah mengejar dan menahan sebuah Infiniti Q60 2017. Kereta itu kemudian didapati telah dicuri dari kawasan simpanan Infiniti dan Nissan di South Bay, Torrance, California.

Kawasan simpanan tersebut menempatkan sejumlah 650 unit Infiniti pelbagai model untuk pasaran tahun 2017. Hampir sama banyak dengan kenderaan di tempat pakir Tesco.

Menurut Sarjan Shawn Freeman, pihak pengedar langsung tidak menyedari tentang kehilangan kenderaan mereka sehinggalah pihak polis melaporkan tentang penahanan tersebut. Cekap sungguh si pencuri pun. Kalah Nicholas Cage dalam filem Gone in Sixty Second.

Penahanan suspek dan kereta tersebut telah membawa kepada penahanan 15 lagi individu lain yang disyaki turut terlibat dengan kes kecurian tersebut. 25 buah kenderaan telah berjaya dipulangkan tetapi sebahagiannya telah hilang beberapa alat gantinya.

Para pencuri itu didapati telah memecahkan peti simpanan dan mengambil kunci kereta-kereta tersebut. Mudah benar kerja mereka nampaknya. Tak payah susah payah nak umpil kunci pintu dan stereng langsung.

Sarjan Paul Kranke dari Jabatan Polis Torrance pula menyatakan mereka masih lagi menyiasat dan belum pasti jumlah individu yang terlibat dalam kes ini. Begitu dengan tempoh masa kecurian dilakukan. Beliau juga menyatakan, semua individu yang ditahan merupakan ahli sindiket dan sekutu mereka.

Kenderaan yang dicuri kebanyakannya dijual di pasaran gelap atau dileraikan sebagai alat ganti. Ada juga yang digunakan untuk melakukan jenayah atau sekadar untuk bersiar-siar. Mereka tidak mensasarkan model-model tertentu, tambah Kranke. Mereka akan mencuri apa sahaja model yang ada di depan mereka.

Jabatan Polis Los Angeles turut membantu dengan memulangkan kembali beberapa buah kereta setelah berjaya ditahan. Biasanya selepas berlaku kejar-mengejar. Standardlah, inikan bumi Amerika, mesti ada main kejar-kejar beb.

Menurut Barry Wishengrad, seorang kakitangan pengurusan di tempat simpanan Nissan dan Infiniti, beliau tidak menyedari kehilangan kereta-kereta ini kerana ia telah hilang sewaktu mereka dalam proses membuat semakan inventori. Malah jumlah kereta yang terlalu banyak juga menyukarkan mereka mengesan jika ada kereta yang hilang.

Wishengrad menambah, beliau telah mengupah kawalan keselamatan bersenjata selama 24 jam dan setiap kenderaan juga telah dilengkapi dengan peranti GPS selepas kejadian itu berlaku. Ingat orang Malaysia je ke sudah terhantuk baru terngadah?

Katanya lagi, memang sesuatu yang menyakitkan hati dan mengecewakan jika ada sesiapa yang dengan mudah mampu memecahkan peti keselamatan dan melarikan kereta dari kawasan simpanan dengan sewenang-wenangnya.

Beliau juga turut mengucapkan jutaan terima kasih atas usaha Jabatan Polis Redondo Beach dan Jabatan Polis Torrance atas usaha mereka yang luar biasa sehingga mampu mengesan kembali kenderaan yang dicuri.

Sehingga kini anggaran kerugian masih belum diperolehi. Ini kerana masih ada kereta yang belum ditemui dan ada yang dijumpai dalam keadaan tidak lengkap.

BACA: 6 TIPS BERGUNA ELAK MOTOSIKAL DICURI

Apa sahaja mungkin berlaku pada masa kini. Ini juga merupakan satu pengajaran yang sangat berguna kepada kita semua. Para pencuri sentiasa berada selangkah di hadapan dalam memperbaharui taktik mencuri kenderaan.

Sekali kita terleka, habis. Dulu biasa juga kami lihat deretan kereta Proton di luar pagar ibu pejabat Proton di Shah Alam. Harap-harap ia tidak mengalami keadaan yang sama seperti di atas.

Share this post