Buletin

50% PEMANDU TIDAK TAHU GUNA TEKNOLOGI DI DALAM KERETA, TETAPI MEREKA BELI JUGA

Secara umumnya, kita membeli sebuah kenderaan kerana ia dilengkapi pelbagai ciri moden yang dikatakan dapat membantu dan menjadikan pemanduan lebih selamat.

Namun begitu, satu kajian yang dilakukan oleh Jardine Motor Group di Britain mendapati lebih 50 peratus pemandu tidak tahu menggunakan teknologi canggih yang ada di dalam kereta mereka.

Kaji selidik itu melibatkan 1,000 orang pemilik kenderaan baharu sejak tiga tahun lalu. Biarpun ia menambah tarikan kepada sesebuah kenderaan, responden melihat teknologi-teknologi tersebut sebagai satu beban.

Sebagai contoh, separuh daripada mereka mengaku mereka tidak tahu bagaimana untuk menggunakan ciri amaran kelajuan, Lane Keep Assist atau memori pelarasan tempat duduk.

Mereka juga tidak tahu mengaktifkan ciri kawalan jalajah, mode sports atau parkir automatik.

32 peratus responden menyatakan mereka tidak tahu mengoperasikan navigasi. Sementara 10 peratus pemilik kereta pula tidak tahu apakah kegunaan sensor mengundur, pemanas tempat duduk atau kawalan suhu.

Sejumlah besar responden turut berdepan masalah dengan tetapan multimedia seperti mengaktifkan ciri Bluetooth dan radio digital.

Maka tidak hairanlah jika ramai yang mengaku keliru dengan fungsi butang dan suis di dalam kereta. 49 peratus menyatakan semua ciri tambahan adalah membazir kerana mereka tidak pernah menggunakannya.

Ironinya, 8 daripada 10 responden mendedahkan teknologi di dalam kereta menyumbang kepada keputusan pembelian. Pada masa sama, 76 peratus mengakui mereka akan membeli kereta baharu (sekali lagi) yang memiliki lebih banyak fungsi, walaupun tidak menggunakannya.

“Ramai di antara kita yang terpengaruh dengan semua ciri ini apabila hendak membeli kereta baharu. Tetapi kita lupa atau tidak tahu bagaimana untuk menggunakannya,” kata Matt Wrigley daripada Jardine Motor Group.

Mungkin kita semua perlu mula memanfaatkan semua ciri yang ada. Beli mahal-mahal tapi tak guna buat apa..

Google ads
Back to top button