9 TIPS PENTING ELAK KECURIAN: PESANAN DARI BEKAS PENJENAYAH

SHARE

Saban hari memang jenuh berita kecurian kereta. Hilang terus satu hal, yang lebih manyakitkan hati bila kereta kita dipecahkan dan barang-barang berharga di dalam kereta habis dicuri. Jadi di sini kami ingin kongsikan beberapa tips untuk kita ambil tindakan.

Kalau tak nak ikut pun, boleh la buat kongsikan ilmu. Penulis asal artikel ini tidak menyatakan nama sebenar beliau namun sebagai bekas pencuri kereta yang sudah insaf beliau ingin berkongsi sedikit ilmu tentang cara-cara melindungi kereta daripada pengalaman beliau sendiri. Ia dikongsi bersama laman web bluecollarweb.

PROSES MENCURI

Dari saat pertama mereka memecah masuk sebuah kereta, mereka sentiasa menanam dalam fikiran yang seseorang sudah pun menelefon pihak polis atau sebarang bantuan. Mereka juga menganggarkan masa ketibaan pihak polis atau orang awam ialah dalam 60 saat.

Jadi untuk keselamatan, mereka cuma akan meluangkan masa selama 20 saat untuk menyelesaikan kerja. Cuma 20 saat dan mereka akan selesai!

Cara nak mengira 20 saat itu pun bukan seperti mengira sistem “Satu ribu satu, satu ribu dua” dalam sesi ujian keselamatan jalan raya, kiraan mesti pantas untuk mengelak dari ditangkap. Rasanya dalam situasi sebenar tak sampai pun 20 saat.

Jadi apa erti ini semua kepada kita? Ini bermakna perkataan “sekejap” yang selalu kita lafazkan sewaktu hendak pergi beli suratkhabar, rokok, bayar duit minyak, beli goreng pisang dan lain-lain adalah sudah lebih dari cukup untuk pencuri seperti ini menyelesaikan urusan.

Cuma 20 saat, mereka akan melarikan sistem stereo anda, DVD, beg tangan, tablet, komputer riba, pasu bunga, dulang astro dan macam-macam lagi. Bagi yang lebih nekad semestinya kereta anda juga boleh hilang terus.

Secara jujurnya, kadang-kadang tiada apa yang boleh anda buat untuk menghalangnya. Ini kerana masa yang diperlukan cumalah 20 saat untuk memecah masuk sama ada untuk mencuri barangan berharga ataupun melarikan terus kereta anda.

Jadi adakah anda perlu berserah begitu sahaja? Jangan. Ada beberapa tips yang boleh anda ikuti untuk menyelamatkan kereta anda dan barangan yang ada di dalamnya.

  1. Faceplate sistem audio

Bagi sistem pemuka audio boleh dibuka, tanggalkan dan letakkan di dalam glovebox. Ini kerana adalah tidak berbaloi untuk mencuri sistem stereo tanpa faceplate. Siapa nak beli radio yang tidak lengkap. Sebenarnya pencuri juga tahu anda mungkin meletakannya di dalam glove box, tetapi mungkin juga anda membawanya di dalam beg tangan anda.

Untuk mendapatkan kepastian mereka perlukan masa, masa untuk memeriksa satu persatu. Adalah lebih mudah untuk mereka memilih sasaran lain yang lebih munasabah.

  1. Bar pengunci stereng

Susah untuk melarikan sebuah kereta yang telah dipasang dengan kunci stereng. Bukannya mustahil bagi pencuri kereta tetapi agak rumit dan memakan masa dan mereka cukup berkira dengan masa.

Jadi jika ada pengunci stereng, mereka akan memilih kereta lain. Pencuri juga tahu yang stereng kereta-kereta moden banyak yang diperbuat daripada plastik dan senang dipotong untuk memudahkan proses membuang bar pengunci stereng tapi seperti yang dimaklumkan sebelum ini, ia memakan masa, dan pencuri kereta selalu berlumba dengan masa.

  1. Kunci kereta anda

Kenapa? Kerana ada dua jenis pencuri. Yang pertama akan pencuri kereta anda walaupun sudah dikunci kerena mereka memang sudah mensasarkan kereta anda. Satu lagi golongan pencuri ialah yang mencuri berdasarkan kesempatan. Ya lah, peluang di hadapan mata, kereta pula tidak berkunci. Mana ada kucing yang menolak ikan.

  1. Sistem penggera

Pencuri kereta bukan penjual sistem penggera. Mereka tak peduli sangat dengan sistem penggera canggih yang berharga ribuan ringgit. Apa yang dicadangkan oleh pencuri kereta pencen ini ialah sebiji lampu berkelip yang diletakkan di atas papan pemuka kereta anda.

Menurut beliau, bila mereka nampak ada sebarang objek yang berkelip di bahagian atas papan pemuka, mereka akan terus mencari sasaran lain yang lebih mudah. Anda boleh mendapatkan lampu-lampu sebegini di kedai aksesori kereta dan melekatkannya dengan pita pelekat.

Jika ada objek yang nampak seperti sebahagian sistem penggera dan berkelip seperti sistem penggera, pencuri biasa akan mencari sasaran lain yang lebih menjimatkan masa.

  1. Simpan barang berharga dalam but

Ingat undang-undang 20 saat pencuri kereta? Mereka tiada masa untuk memecah masuk dan memeriksa but kereta anda. Ia terlalu memakan masa. Jadi kalau sayangkan barang-barang anda, letakkan segala DVD, GPS, alatan sukan seperti raket tenis anda di dalam but belakang.

  1. Sepahkan barang dalam kereta

Bunyi kelakar tetapi berkesan. Menurut penulis ini beliau tidak akan memecah masuk atau mencuri kereta yang bersepah dari lantai sampai ke bumbung. Walaupun mungkin ada barangan yang berharga di dalam tetapi ia tidak berbaloi untuk dicuri.

Ingat pencuri sama sekali tidak ingin menyentuh tisu-tisu atau pembungkus makanan yang sudah lebih sebulan berada dalam kereta anda. Silap-silap 5 keluarga tikus menetap di dalam tu.

  1. Jangan tinggalkan wang kecil

Kadang-kadang ada pemilik yang sengaja meninggalkan wang kecil dalam kereta untuk membayar parking, tol ataupun membeli suratkhabar. Mungkin jumlahnya tidak kecil tetapi bagi pencuri kecil-kecilan itu sudah mencukupi untuk mereka memecahkan cermin tingkap anda.

Akhirnya, duit hilang cuma RM1.80 tetapi kos menggantikan cermin yang pecah menelan bajet ratusan ringgit. Sama juga dengan meninggalkan dompet di dalam kereta walaupun dalamnya kosong.

Ingat pencuri cuma tertarik dengan dompet. Prinsip mereka mudah, pecahkan dulu, ambik dompet, periksa dan akhir sekali buang ke mana-mana. 10 saat pun dah memadai.

  1. Lampu Jalan

Pastikan kereta anda sentiasa di bawah sinaran lampu jalan. Jangan mengada-ngada nak sorok kereta anda di tempat gelap. Ingat kecurian biasanya berlaku jika ada peluang untuk melakukannya dan bekerja di dalam suasana terang bukan gaya pencuri kereta.

  1. Lampu luar rumah dengan pengesan pengerakan

Jika anda ingin menjimatkan bil elektrik kerana maklumlah bil elektrik di Malaysia ni agak melangit tingginya, gunakan lampu luar yang lengkap dengan pengesan pergerakan.

Ini bermakna ia cuma akan menyala jika ada sebarang pergerakan berhampiran kereta anda. Ingat. Selain daripada memancarkan cahaya terang, ia juga mengejutkan pencuri. Mereka juga tidak sukakan kejutan.

Pesanan akhir

Kalau malas sangat nak amalkan yang lain, cukuplah dengan dua langkah sahaja:

  1. Cahaya adalah musuh pencuri (Ye lah , perangai pun dah macam setan). Mereka bencikan cahaya. Cukup-cukup benci. Jadi penting untuk anda bersahabat dengan cahaya. Sentiasa letak kenderaan anda berhampiran dengan sumber cahaya supaya para pencuri durjana akan berlalu pergi.
  2. 20 saat. Ingat! Keseluruhan proses hanya memakan masa 20 saat. Jangan sesekali lupa!

menerusi: bluecollarweb.

(Visited 1,096 times, 14 visits today)

Share this post

scroll to top