Buletin

ADAKAH HONDA BAKAL MENGELUARKAN S2000 BAHARU?

Honda baru-baru didapati telah mempatenkan satu rekaan model baharu yang jelas bakal menjadi pesaing kepada Porsche Boxster. Kalau tidak dikeluarkan dalam masa terdekat pun diyakini ‘baby NSX’ ini mungkin akan dipaparkan sebagai model konsep dalam mana-mana pameran motor pada masa hadapan.

Imej-imej model baharu ini didapati telah didaftarkan dengan European Union Intellectual Property Office pada 17 Julai baru-baru ini. Rekaannya juga jelas menunjukkan yang ianya sebuah roadster saiz kecil dengan enjin di bahagian tengah diinspirasikan daripada supercar NSX yang baharu sahaja dilancarkan.

Komuniti penulis permotoran mengatakan yang jika dikeluarkan ia bakal menjadi pencabar kepada Porsche Boxster, Audi TT dan BMW Z4 terbaharu yang akan dilancarkan. Para peminat Honda pula cukup yakin yang model ini merupakan pengganti kepada Honda S2000 yang cukup berjaya sewaktu dilancarkan sekitar 20 tahun dahulu.

BACA: NSX ‘SUPERCHARGER’ INI AKAN DILELONG UNTUK KEBAJIKAN

Desas-desus tentang pengganti S2000 sudah lama kedengaran tetapi pihak Honda terus membisu dalam hal ini. Tapi kalau jadi memang berbaloi la penantian ramai peminat S2000 di seluruh dunia.

Roadster baharu ini mungkin juga akan mengambil sedikit sebanyak teknologi daripada Honda NSX. Dijangkakan juga ia akan dibekalkan dengan enjin 2.0-liter empat selinder petrol dengan kotak gear automatik klac berganda 9-kelajuan. Berdasarkan aliran terkini, ia juga mungkin dilengkapkan dengan motor elektrik kecil di belakang untuk tambahan kuasa.

Lakaran 3D ini juga sebenarnya cukup detail sehinggakan anda boleh melihat susun atur papan pemukanya yang memang sporty dan mempunyai persamaan dengan Honda NSX baharu.

Jika dilengkapkan dengan sistem pacuan semua roda, tidak mustahil roadster kecil Honda ini mampu menyaingi Porsche dari segi prestasi. Bagaimanapun tunggu sahaja macam mana hasilnya nanti.

BACA: HONDA NSX – BAGAIMANA IA BERMULA? APAKAH MAKSUD ASAL N.S.X?

Ianya mungkin akan dipersembahkan kepada umum di Tokyo Motor Show akan datang ataupun mungkin juga di Los Angeles Auto Show dengan label Acura. Harap-harap ia dikeluarkan sampai ke peringkat produksi dan bukan hanya sebagai model konsep.

Rasanya dah lama tidak ada roadster kecil dengan enjin di belakang seperti Toyota MR-S.

Google ads
Back to top button