ADAKAH MASIH RELEVAN WANITA DIJADIKAN PENGHIAS ACARA AUTOMOTIF?

SHARE

Salah satu rukun negara yang kita sanjung adalah Kesopanan dan Kesusilaan. Semakan di laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) memberi maksud kesopanan sebagai “keadaan atau hal sopan; tutur kata (tingkah laku dll) yang sopan” manakala susila sebagai “baik budi bahasanya, beradab, sopan”.

Merujuk kepada rukun negara ini rakyat negara kita haruslah berkelakuan baik serta beradab dan sopan.

Namun sejauh mana rukun negara itu dihayati oleh segenap lapisan masyarakat sama ada invididu, kumpulan, organisasi atau syarikat komersil?

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Kami di Mekanika bermula di jalanan sejak belasan tahun dahulu. Sudah banyak acara automotif yang kami anjurkan dan turut berpeluang untuk melawat ke pelbagai pameran antarabangsa.

Pengalaman tersebut telah menunjukkan kami suatu perkara. Wanita selalu dijadikan peneman sesuatu acara dan kebiasaannya dengan pakaian menjolok mata.

Pengalaman ini juga membuatkan kami berhati-hati dalam membuat liputan, tiada gambar wanita yang menjolok mata akan disiarkan malah kami juga mengelak dari menyiarkan gambar dengan logo syarikat alkohol atau judi.

Jika ada, mungkin terlepas pandang namun itu adalah polisi yang ditetapkan buat jurnalis kami.

Hafizh Syahrin – Pelumba MotoGP pertama negara. Kredit: Official Fan Club Hafizh Syahrin 55 pescao

Namun kebelakangan ini industri sudah mula berubah. Pujian harus diberikan kepada Honda Malaysia dan Proton kerana berani tampil dengan material pengiklanan wanita bertudung, walaupun masih boleh diperbaiki tetapi objektifnya sampai.

Begitu juga dengan Petronas yang cuba untuk menjaga nama baik syarikat dan adat ketimuran.

Paling ketara apabila tular gambar bertudung isteri pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin yang  menemani suaminya di grid perlumbaan.

Adakah kami berseorangan dalam isu ini?

Syukur tidak kerana pengeluar dan penganjur antarabangsa sudah sedar tentang hakikat ekploitasi ini.

Di Pameran Kenderaan Antarabangsa Geneva 2018 misalnya Ssangyong menggunakan model lelaki dengan pakaian sukan untuk mempromosi barisan kenderaan pikap dan SUV.

Toyota dan Nissan juga cuba untuk berubah dan mengurangkan pakaian model dengan menjolok mata.

Lexus juga telah menggugurkan model pameran sama sekali manakala Fiat Chrysler membatalkan kontrak dengan beberapa model wanita.

Maserati, Jeep dan Alfa Romeo pula menggunakan model lelaki dan wanita dengan pakaian lebih sopan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Kecenderungan ini adalah disebabkan pengaruh kempen #metoo yang merupakan satu pergerakan global dalam menentang gangguan dan serangan seksual.

Beijing, China

Jika ada yang berasa kagum dengan pergerakan ini, China terlebih dahulu bertindak lebih awal. Mereka tidak memerlukan pergerakan antarabangsa untuk sedar tentang eksploitasi ini.

Pada Pameran Kenderaan Antarabangsa Beijing 2016, penganjur telah mengharamkan sama sekali model untuk program ini.

Langkah tersebut diambil susulan Pameran Kenderaan Shanghai 2015 yang mengharamkan model wanita dari mempromosikan kenderaan.

Alasannya ialah supaya pengunjung dapat menikmati suasana yang teratur, bersih dan selamat.

Lagi pula pameran automotif ialah bagi menunjukkan model kenderaan terbaru sambil mendidik masyarakat tentang inovasi dan teknologi automotif.

Tiada lagi gadis litar untuk musim F1 2018.

Sebagai alternatif pengeluar di Beijing tampil dengan model lelaki berpakaian segak dan bergaya disamping menggilap kenderaan yang dipamerkan.

Pengeluar kereta Changan Auto pula mengupah model antarabangsa untuk mewakili jenamanya.

Sebelum ini pameran kenderaan di China sering tampil dengan wanita berpakaian singkat dan menjadi perhatian lebih daripada kenderaan itu sendiri.

Akhbar China Daily memanggilnya sebagai dangkal, lucah dan jelek.

Dalam satu perkembangan automotif lain, penganjur Formula 1 tidak akan lagi menggunakan gadis litar bermula musim depan kerana ia tidak lagi menepati norma masyarakat hari ini.

Pada kami amalan eksploitasi wanita ini adalah ibarat zaman jahiliyah dan harapnya dengan semangat Malaysia Baharu, segenap lapisan masyarakat dan kerajaan peka dan dapat membuat sesuatu.

Dalam kita sibuk dalam membicarakan hak asasi seperti ICERD, inilah masa sesuai untuk kita menghentikan ekploistasi wanita seperti yang sedang berlaku hari ini.

Polisi seperti ini tidak perlu hingga ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pun, arahan eksekutif sudah memadai.

Share this post

scroll to top