APA KHABAR NISSAN MURANO? INI MODEL 2019 YANG TAMPAN DAN TAJAM

SHARE

Suatu masa dahulu Nissan Murano begitu popular di dalam negara. Model generasi pertama (Z50) ini dibawa masuk ke dalam negara oleh pengimport bebas dan dengan bentuknya yang lari daripada kebiasaan sebuah SUV terus berjaya memikat hati pengguna.

Interiornya pula sporti dengan tiga unit panel meter bulat ala kereta lumba. Selepas lima tahun berada di pasaran, Nissan memperkenalkan model generasi kedua (Z51) pada Pameran Kenderaan Los Angeles 2007.

Model ini turut dimport masuk dari Jepun oleh pengimport bebas ke dalam negara tetapi responnya agak sejuk. Harganya sekarang boleh dikatakan mampu milik tetapi masih belum berjaya menarik minat ramai.

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Mobile

Tidak pasti kenapa tetapi reka bentuknya kekal menarik seperti generasi pertama. Pada masa itu, Toyota Harrier dan Lexus RX lebih banyak mendominasi jalan raya tempatan.

Model generasi ketiga (Z52) diperkenalkan pada Pameran Kenderaan New York 2014 dan ia hadir dengan bentuk segar dan menawan. Murano kali ini benar-benar menjadi warga Amerika Syarikat apabila tidak dipasarkan langsung ke Jepun.

Alasannya ialah kerana saiz dan pematuhan cukai jalan tahunan yang menjadikannya terlampau mahal untuk dipasarkan di sana. Keputusan itu juga bermakna tiada lagi Murano dipasarkan di negara kita.

Jika diikutkan kitaran produk, Murano sepatutnya bakal hadir dengan model baharu tahun depan tetapi Nissan telah memutuskan untuk melancarkan model yang dikemaskini luar dan dalam.

Dari gambar yang diberikan, tiada masalah untuk Murano terus kekal kerana rekaan asas generasi ketiga sudah sedia lawa dan bergaya. Rasanya prioriti Nissan sekarang ialah dengan menggantikan Almera dan Grand Livina yang telah berusia.

Murano 2019 diperkenalkan pada Pameran Kenderaan Los Angeles yang baru sahaja berlangsung.

Model ini tampil dengan perubahan luaran seperti gril V Motion yang lebih terampil, Lampu LED depan dan belakang rekaan semula dan lampu kabus LED baharu.

Turut baharu ialah roda aloi 18 inci dan 20 inci dan tiga warna iaitu segar iaitu Sunset Drift Chromaflair, Mocha Almond Pearl dan Deep Blue Pearl.

Bahagian dalaman dikemaskan dengan balutan kulit dengan corak dan riasan komponen baharu seperti Dark Wood, Light Wood-dan Metallic.

Dari segi keselamatan pula kesemua Murano dilengkapi teknologi Innovative Rear Door Alert yang mampu memberi amaran supaya pemandu melihat kalau-kalau ada barang dan penumpang tertinggal. Juga standard ialah Intelligent Driver Alertness.

Pengguna yang mahu lebih keselamatan pula boleh memesan Murano Platinum atau pakej Teknologi SL. Pilihan ini menawarkan teknologi Nissan Safety Shield 360 yang lengkap dengan pelbagai ciri-ciri keselamatan seperti Automatic Emergency Braking dengan Pedestrian Detection, Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, Lane Departure Warning, High Beam Assist dan Rear Automatic Braking.

Nissan Murano 2019 ditawarkan dengan enjin 3.5 liter DOHC V6 berkuasa 260 hp yang dipadankan bersama transmisi Xtronic. Pengguna juga boleh memilih pacuan 2WD depan atau Intelligent AWD.

SUV ini memang menarik cuma rasanya eloklah Nissan melihat kembali tawaran mereka di pasaran utama. Di negara kita UMW Toyota memasarkan Harrier yang katanya menerima sambutan hangat manakala Mazda yang jauh berkali ganda lebih kecil dari Nissan menawarkan SUV besar CX-9.

Ada lagi sikit nak tambah, dalam memasarkan Harrier, UMWT turut terpaksa bersaing dengan pengimport bebas yang menawarkan harga jauh lebih rendah berbanding unit rasmi.

BACA: SELAMAT TINGGAL NAKAMURA SAN, TERIMA KASIH HADIAHKAN DUNIA DENGAN GT-R

BACA: NISSAN GT-R x G-SHOCK DW-6900 – TAK MAHAL, ORI RM680 SAHAJA

Share this post

scroll to top