Buletin

APA? VELLFIRE? ALPHARD? INI NISSAN NV300 CAMPER

Sekarang ini jika diperhatikan di atas jalan raya, MPV atau van mewah seperti Toyota Vellfire dan Alphard memang banyak. Silap-silap sama banyak dengan Toyota Vios. Yang memandunya pula tidak mengira usia, ada yang muda dan juga berusia.

Salah satu faktor kenapa Vellfire dan Alphard begitu popular ialah saiznya yang besar dan selesa untuk seisi keluarga dan juga budaya rakyat tempatan yang suka berjalan selain daripada rangkaian jalan raya yang baik dan saling berhubungan.

Menyentuh tentang keluarga dan budaya berjalan, ada satu segmen yang kurang popular di negara kita tetapi mempunyai potensi besar.

Segmen yang dimaksudkan ialah Camper Van. Kenderaan keluarga jenis ini ibarat rumah bergerak dengan pelbagai kelengkapan asas di dalamnya seperti tempat tidur, dapur, sinki dan bilik mandi.

Walaupun menarik, satu masalah yang menyebabkan van camper kurang popular ialah harganya yang terlampau tinggi sehingga mencecah ratusan ribu.

Jika begitu, apa kata guna van biasa dan lengkapi dengan kemudahan sebuah van camper?

Ini lah yang dilakukan oleh Nissan apabila memperkenalkan dua buah van camper di Pameran Kenderaan Madrid di Sepanyol baru-baru ini.

Nissan menggunakan van NV300 dan e-NV200 untuk tujuan tersebut dengan melakukan pelbagai pengubahsuaian. Menariknya model e-NV200 dikuasakan oleh nadi kuasa elektrik dan bukan enjin biasa.

Nissan NV300 yang diubahsuai tersebut menampilkan ruang dalaman yang sesuai untuk empat orang jika mereka berdiri melalui bumbung yang boleh dinaikkan dan menjadi tingkat kedua.

Van ini juga dilengkapi dengan meja sama ada untuk berborak atau makan dan juga set dapur seperti peti sejuk, sinki, air dan gas.

Pada waktu malam, penumpang boleh tidur dengan selesa melalui bidai tingkap dan pemanas. Bahagian bumbung pula boleh digunakan sebagai ruang tambahan untuk tidur.

Tidak banyak maklumat yang diberikan oleh Nissan tentang van camper ini cuma apa yang pasti ialah van ini bukan cubaan atau konsep atau bahan pameran semata-mata.

Pelanggan di Sepanyol betul-betul boleh menempahnya di cawangan Nissan dan boleh menempah spesifikasi yang dimahukan mengikut keperluan mereka.

Ini betul-betul hebat. Lebih hebat jika van camper ini boleh dibeli pelanggan tempatan dengan harga yang masuk akal! 

Pergi Hatyai balik hari pun okay juga ni!

BACA: CAMPERVAN KEICAR – APA LAGI, JOM PERGI JEPUN!

BACA: ANDA SUKA MOTORHOME? CAM CARAVAN KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN

Google ads
Back to top button