BuletinMotosikal

ARRC THAILAND: AZLAN BERDEPAN TUGAS GETIR DI BURIRAM

Azlan Shah Kamaruzaman berhadapan tugas getir untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan SuperSports 600cc menjelang perlumbaan pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hujung minggu ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan mengumpul 102 mata, namun 32 mata ketinggalan di belakang pendahulu, Anthony West yang mengumpul 136 mata dengan hanya 50 mata maksimum menanti pelumba-pelumba.

Ini bermakna Azlan perlu menamatkan kedua-dua perlumbaan sekurang-kurangnya di kedudukan kedua untuk memintas West meskipun pelumba itu tidak beraksi di Buriram minggu ini.

“Saya perlu menang. Tidak ada jalan lain untuk saya mempertahankan gelaran keseluruhan yang dimenangi musim lepas,” jelas juara Asia dua kali itu.

Tambah Azlan, “Walaupun West tidak beraksi, namun kehadiran pelumba gantian mereka, Randy Krummenacher yang berpengalaman luas mungkin menjadi halangan besar disamping pencabar utama lain. Saya berharap pasukan dapat membantu menyediakan jentera yang lebih baik berbanding ketika menamatkan kedua-dua saingan pusingan pertama di tempat ketiga di sini pada awal musim.

“Paling penting saya juga tidak boleh melakukan sebarang kesilapan sewaktu perlumbaan. Kita lihat bagaimana aksi pertama di litar pada sesi latihan bebas esok dan akan terus dipertingkatkan lagi sehingga ke perlumbaan akhir nanti,” jelas Azlan.

Google ads
Back to top button