BuletinMotosikal

ARRC THAILAND : MISI SUKAR ZAQHWAN PERTAHAN KEJUARAAN

Pelumba SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi mengakui berasa sedikit tertekan menghadapi pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) dalam misi untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada perlumbaan kemuncak di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand bermula 30 November hingga 3 Disember ini.

Bebanan lebih terasa memandangkan pada tahun ini juara keseluruhan 2014 dan 2016 itu beraksi tanpa gandingan pelumba berpengalaman sebaliknya bertindak selaku pelumba utama pasukan bergandingan dengan pelumba kurang berpengalaman, Teppei Nagoe di dalam pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing.

“Saya terpaksa bekerja lebih keras pada tahun ini. Rakan sepasukan, Teppei merupakan pelumba muda berbakat namun ini merupakan tahun pertamanya dalam kelas 600cc dan memerlukan sedikit masa untuk bersaing di kelompok depan. Ini menyebabkan saya bersendirian tanpa rakan sepasukan ketika bersaing di kelompok depan bersama pelumba berpengalaman yang lain,” jelas Zaqhwan.

Tambah juara bertahan itu, dia tidak menyangka untuk menjadi pendahulu setelah kehilangan banyak mata ketika terjatuh pada Perlumbaan 2 di Pasir Gudang manakala meraih keputusan tidak begitu baik pada pusingan berikutnya di Thailand.

Sebaliknya rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman yang lebih menonjol pada permulaan musim sebelum juara tahun 2013 itu terbabit kemalangan dan mengalami kecederaan menyebabkannya gagal untuk mengekalkan momentum terbaik pada beberapa pusingan lepas.

Keputusan konsisten meraih dua gelaran juara dan lima penamat di podium sepanjang lima pusingan lepas membantu Zaqhwan untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, namun dicabar rapat Yuki Ito dan Taiga Hada yang mengekori rapat dengan 134 mata.

“Berdasarkan keputusan lepas, jentera Kawasaki dan Yamaha lebih laju ketika di laluan lurus dan memberi mereka banyak kelebihan di Buriram. Saya dan pasukan perlu mendapatkan pelarasan terbaik dan merencana strategi serta pemilihan tayar tepat yang akan memain peranan besar pada perlumbaan minggu ini,” jelas Zaqhwan.

Kedudukan Keseluruhan SuperSports 600cc

1 Md Zaqhwan Zaidi (MAS) MUSASHi Boon Siew Honda Racing 138 mata

2 Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing 134 mata

3 Taiga Hada (JPN) RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 134 mata

4 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 128 mata

5 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 110 mata

Kedudukan Keseluruhan Pasukan SuperSports 600cc

1 Manual Tech KYT Kawasaki Racing 155 mata

2 MUSASHi Boon Siew Honda Racing 146 mata

3 RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 140 mata

4 Yamaha Racing 140 mata

5 Yamaha Thailand Racing Team 115 mata

Google ads
Back to top button