BuletinMotosikal

ARRC THAILAND: ZAQHWAN TEKAD BANTU PASUKAN RAIH KEDUDUKAN TERBAIK

Mohd Zaqhwan Zaidi berharap dapat menamatkan musim 2018 dengan keputusan podium sekaligus dapat membantu pasukannya untuk berada di kedudukan terbaik dalam kategori berpasukan SuperSports 600cc pada pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand minggu ini.

Pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing itu berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 120 mata, 29 mata di belakang Webike Ikazuchi Racing yang mengumpul 149 mata manakala Manual Tech KYT Kawasaki Racing di kedudukan kedua dengan 130 mata.
Sementara itu dalam kedudukan individu Zaqhwan berada di kedudukan kelima keseluruhan dengan 94 mata, 42 mata di belakang pendahulu keseluruhan, Anthony West yang mengumpul 136 mata.
Menyedari peluang untuk merampas kedudukan keseluruhan agak sukar, pelumba berusia 22 tahun itu tekad untuk sekurang-kurangnya membantu pasukan untuk mengungguli kedudukan keseluruhan berpasukan.
“Jurang 42 mata dengan pendahulu agak jauh, dengan hanya 50 mata maksimum yang menanti pelumba menjadikan tugas untuk muncul juara keseluruhan agak sukar, ditambah dengan persaingan sengit diantara tiga lagi pelumba yang berada di atas saya ketika ini termasuk rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman,” jelas juara keseluruhan SuperSports 600cc musim 2014 dan 2016 itu.
Tambahnya, “Namun, apa sahaja boleh berlaku dalam perlumbaan. Dalam pada itu, saya lihat peluang untuk mengembalikan gelaran terbaik kepada pasukan lebih terbuka seandainya saya mampu memenangi kedua-dua perlumbaan minggu ini kerana jurang yang tidak begitu ketara.
“Walaupun begitu, saingan sudah tentu sangat sengit terutama dengan kumpulan pendahulu yang lain dan juga pelumba-pelumba tuan rumah. Setidak-tidaknya saya mahu meraih satu gelaran juara untuk musim ini,” jelas Zaqhwan yang meraih pencapaian terbaik sebagai naib juara Perlumbaan 1 pusingan keempat di India Oktober lepas.
Google ads
Back to top button