Artikel PilihanBuletin

AZMI SCOOTERS, DARI HOBI MASA LAPANG JADI SATU JENAMA TERKENAL

Apa yang bermula sebagai hobi masa lapang kini bertukar menjadi satu perniagaan yang serius. Di pasaran yang dianggap “niche”, Azmi Scooters telah mula menempa nama besar dalam industri Vespa dan Lambretta klasik.

BACA: MENGAPA VESPA BEGITU ISTIMEWA?

Hari ini, jika bercakap tetang Vespa dan Lambretta, nama Azmi Scooters pasti akan berada di senarai teratas. Kami di Mekanika tidak lah berjiwa skuter tetapi bila dia terjumpa iklan Vespa VBB untuk dijual dengan kondisi yang macam baru di laman facebook azmiscooters, kami benar-benar terkejut.

Memang benar tahap restorasi kita sudah sampai ke tahap ini?

Azmi, atau nama sebenarnya Mohd Azmi Mustamil, anak muda berusia 34 tahun berasal dari klang ini mengambil keputusan terjun ke dalam dunia perniagaan dengan serius. Semuanya bagaikan kebetulan kerana awalnya, beliau hanyalah salah seorang pengguna Vespa Super seperti Pak Amid.

Sejak 1998, beliau mula membeli Lambretta dan jual beli beberapa buah Vespa klasik dan satu perkara yang dikongsi bersama peminat skuter lain ialah – masalah alatganti. Tambah kronik lagi, tiada langsung kedai atau bengkel yang mengkhusus untuk membaiki dan merestorasi Vespa.

SUSAH CARI KEDAI, KITA BUKA KEDAI SENDIRI

Pada 2010, Azmi mula mencari sumber peralatan Vespa dengan mengimport masuk dari Vietnam. Waktu itu, zaman jualbeli online baru nak berkembang, belum ada facebook, jarang ada peniaga yang berselfie dengan GT-R atau ahli MLM pakai kot tengah malam bergambar dengan Lamborghini entah siapa punya.

Kerana minat itu juga, Azmi bersama sekelompok pemilik Vespa saling bertukar pandangan dan perniagaan kecil-kecilan ini lebih tertumpu sekitar kenalannya sahaja. Kerana minat itu juga, beliau mula belajar membaiki sendiri di rumah.

BACA: VESPA SENTUHAN AZMI UNTUK DIJUAL

Kelompok kecil ini menubuhkan forum perbincangan dan proses pembaikan bertukar jadi kerja yang lebih serius. Bayangkanlah kalau dah 10 orang kawan kau datang melepak kat rumah tiap-tiap malam berdentum dentam ketuk besi Vespa, memang meriah.

Tapi, mesti mak marah kan?

Didorong oleh isteri yang juga berkongsi minat yang sama, Azmi mengorak langkah membuka premis yang lebih teratur di Shah Alam. Isterinya, Rohana Mohamed kini menguruskan hal-ehwal operasi sementara Azmi masih lagi berulang alik di bengkel utama Meru dan juga bengkel/pusat pameran di Shah Alam.

RESTORASI LENGKAP MACAM KELUAR KILANG!

Fokus utama perniagaan azmiscooters ialah membaikpulih skuter lama menjadi sebuah produk akhir yang paling dekat dengan spesifikasi kilang. Setelah mengutip pengalaman di jalanan dan bengkel di rumah, beliau bersama pasukannya semakin mahir dengan kerja-kerja baikpulih.

Ia bukan setakat mengikis cat dan overhauled enjin semata-mata. Azmi bersama pasukannya akan “membogelkan” setiap unit skuter ini, membersihkannya dengan sandblasting (mengikis cat menggunakan semburan pasir), mengimpal,  membalutnya dengan lapisan baru, mengecat dan memasangnya semula dengan semua peralatan baru.

BACA: VESPA VBB UNTUK DIJUAL

Menurut Azmi, ada beberapa jenis pelanggan yang biasanya datang ke kedai. Pertama, mereka yang membawa datang Vespa/Lambretta lama untuk dibaikpulih dan ada yang datang untuk membaiki, mengubahsuai enjin supaya lebih laju.

Ya. Mereka nak laju. Sebab kelompok Vespa/Lambretta hari ini panjat Genting Highland untuk minum kopi sahaja. Mereka sudah berjalan sejauh Krabi dan Phuket. Kalau bawak Vespa standard maka berkicaplah nak sampai Kodiang pun.

Cabaran utama dalam perniagaan ini ialah tentang menghasilkan produk akhir yang sempurna. Bayangkan kau nak baikpulih besi yang sama usianya dengan bapak dan datuk kita. Azmi telah melatih kakitangannya menjadi yang terbaik.

Kini, beliau memiliki 13 orang kakitangan operasi baikpulih dan 4 orang kakitangan pengurusan. Jika anda pernah ke premis azmiscooters, boleh bayangkan kesibukan mereka menguruskan pelanggan, menyiapkan tempahan dalam talian dan menguruskan pesanan pelanggan dari seluruh negara.

Projek Vespa dengan “sidecar” yang dipesan oleh salah seorang pelanggan azmiscooters. Ia buatan khas untuk tujuan kenderaan promosi sebuah syarikat aiskrim dari Singapura

Pelanggan Azmi juga datang dari Sabah, Sarawak, Brunei, Thailand, Indonesia dan Singapura yang berurusan membeli peralatan secara online.

Dalam masa yang sama beliau perlu menyiapkan tempahan pelanggannya dengan purata 20 hingga 30 buah skuter yang perlu disiapkan dalam sebulan. Memang banyak tu kalau Abang Japar buat ni mesti pasang wayar, hos minyak sambil menitik air mata.

BAIKI VESPA MODEN JUGA

Selain Vespa lama, Azmiscooters turut menyediakan perkhidmatan untuk Vespa moden. Kebiasaannya pelanggan datang untuk servis rutin dan menukar beberapa alatganti asas. Kelebihan Azmiscooters ialah ketersediaannya dengan alatganti yang banyak.

Maksud kami, sangat banyak.

Di sini, anda boleh cari apa sahaja. Hos?, getah bushing? Meter? Rim? Ekzos? Awek? Pun ada. Sebab Vespa gadis-gadis memang suka. Azmi juga memiliki jenama sendiri untuk peralatan seperti sistem ekzos dan juga rim dengan tayar tanpa tiub.

Ia bukan satu pilihan, tapi kewajipan untuk menyimpan stok. Azmi mesti menyimpan stok alatganti kerana proses restorasi skuter yang tak pernah berhenti. Beliau perlu menyiapkan sebuah skuter dalam tempoh purata selama 6 minggu.

Ketika kami lihat gudang simpanan beliau di belakang premis, dah rasa macam kat kedai spare part motor Sentul.

BERAPA KOS BAIKPULIH?

Bergantung kepada apa yang pelanggan mahu. Namun begitu, bukan semua skuter lama boleh dibaiki. Azmi akan memberi cadangan yang sepatutnya kepada pelanggan sebelum memulakan projek.

“Kadang-kadang, skuter dah macam ketam eksiden pun diorang bawak datang. Memang tak boleh repair, chasis dah bengkok, badan bukan karat lagi dah, bercerai berai, Rick Restoration pun surender,” ujar Azmi sambil menjeling kepada Pak Amid yang sedang menolak RX-Z nya nak suruh Azmi restore jadi NOS.

“Proses restorasi Vespa/Lambretta ni bergantung pada bajet. Biasanya bermula dari sekitar RM10,000. Sebab ada yang suka original semua. Tapi kebanyakannya masih OK dengan alatganti OEM sebab harganya yang lebih masuk akal,” ujar Azmi lagi.

Menurut Azmi, sebagai contoh komponen seperti meter OEM yang berharga RM150 sementara yang asli New Old Stock (NOS) boleh cecah RM1,000.

Nampak? Dah, jangan jadi batak sangat beli seat RXZ sampai RM3500.

WWW.AZMISCOOTER.COM.MY

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Azmi memberitahu beliau memang satu cabaran untuk mengembangkan perniagaannya secara dalam talian. Semua pelanggan sudah biasa dengan transasksi menerusi facebook.

Beliau akan melancarkan semula laman web barunya pada bulan hadapan untuk memudahkan pelanggan membeli terus dengan pesanan dan bayaran dalam talian. Ia akan lebih teratur dan memudahkan kakitangan pengurusannya mengendalikan traksaksi.

Azmi juga tidak menolak akan mengembangkan perniagaannya. Vespa dan Lambretta adalah jenama gayahidup. Beliau menyimpan hasrat untuk membuka cafe dan memanjangkan operasi perniagaannya pada hujung minggu.

BACA: VESPA IKON GAYA HIDUP MODEN

Kepada anda yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan mendapatkan perkhidmatan azmiscooters, boleh datang terus ke premis beliau yang terletak di Shah Alam. Kedai ini dibuka setiap hari kecuali Isnin.

Kalau anda nak datang melawat pun sangat berbaloi. Ia bukan sahaja sebuah bengkel dan pusat pameran. Ia ibarat kembali ke zaman silam. Ada papan tanda klasik “minyak pelicin” (bukan minyak pelincir tau). Ada basikal tua yang rare atas rak, ada barang-barang klasik dan macam-macam lagi.

Azmi scooters

No. 33, jalan Keluli AL7/AL,

Pusat Perniagaan Bukit Raja, Seksyen 7,
Seksyen 7, 40000 Shah Alam

019 – 283 5453, 013 – 672 2271

 

 

 

Google ads
Back to top button