Artikel PilihanBuletin

BELI HONDA NSX, PERCUMA SEORANG MEKANIK

Menarik? Tertarik? Inilah tawaran terbaru Honda untuk menarik minat warga Australia untuk membeli supercar terbaru Honda, NSX. Pembeli NSX baru ini akan dibekalkan dengan seorang mekanik peribadi yang bersedia untuk menjaga kereta anda.

Ia juga akan dibekalkan dengan pakej servis percuma selama tiga tahun. Strategi ini hampir sama dengan tawaran yang diberikan oleh Ferrari dan juga Lamborghini untuk model-model mereka. Inilah yang paling menarik bila menggunakan kereta-kereta mahal. Agak-agak bila kereta secondhand nak buat tawaran macam ni? Kalau ada memang tiap-tiap bulan kami tukar kereta.

Next Generation Acura NSX Unveiled

Big Boss Honda Australia, Stephen Collins berkata mereka sudah memulakan pencarian mekanik sepenuh masa untuk tujuan tersebut. Mereka yang terpilih akan dipertanggungjawabkan untuk menyeleggara setiap Honda NSX yang berjaya dipasarkan di Australia. Para mekanik ini juga akan memberi maklum balas kepada setiap Honda NSX yang dipasarkan melalui rangkaian lima pengedar yang berdedikasi seluruh Australia.

Mereka juga mesti bersedia untuk bertugas di luar waktu bekerja jika pemilik Honda NSX ini mempunyai sebarang masalah. Ini sudah bagus, kalau anda tidak ada teman berbual untuk lepak sambil minum kopi, nak main futsal ataupun memancing, panggil je mekanik anda. Macamana kalu mekanik perempuan? Maklumlah, sekarang ni pun ramai awek-awek lepasan kolej yang menjadi mekanik. Malu kaum lelaki beb.

Malah Collins berkata, beliau juga bersedia berkhidmat selepas waktu pejabat untuk para pemilik Honda NSX yang telah membayar sejumlah AUD420,000 (RM1.3 juta) untuk memiliki kereta terbaru Honda ini. Apa lah sangat Mr Collins, kami pun buat berita ni pun pada waktu malam selepas melepak sejam dua di kedai mamak. Kira berkhidmatlah juga untuk pembaca yang dikasihi sekelian.

Next Generation Acura NSX Unveiled

Honda Australia juga akan melantik seorang ketua mekanik untuk seluruh Australia. Individu yang terpilih semestinya adalah mereka yang benar-benar memahami aspek-aspek yang ada pada kereta ini secara keseluruhan. Tempahan ini NSX generasi kedua ini juga telah dibuka dalam minggu ini. Hantaran pertama dijangka dapat diserahkan kepada pemilik pada awal tahun hadapan. Model ini dijangka akan bersaing dengan model-model seperti Porsche 911 Turbo dan Audi R8.

Bagi para pembaca yang muda yang belum mengetahui dengan mendalam tentang Honda NSX. Ini merupakan model ‘supercar’ Honda generasi kedua. Generasi pertama dipasarkan sekitar tahun 90an dan kebanyakannya berwarna merah. Sekali imbas ia kelihatan seperti Ferrari F355 yang juga dipasarkan dalam era yang sama. Ianya bernadikan enjin VTEC 3000cc yang merupakan enjin dengan kapasiti terbesar pernah dilengkapkan pada sebuah model Honda.

Teknologinya agak melangkaui masa kerana menggunakan cesi aluminium sepenuhnya. Teringat sewaktu kami masih di IPT suatu ketika dulu. Setiap kali melintas pusat pameran kereta di Damansara Uptown, hampir menitik airliur melihat barisan Honda NSX yang dipamerkan.  Sekitar tahun 2000 ke atas pula, NSX ini telah dinaik taraf dengan beberapa ciri baru. Varian NSX-R juga turut diperkenalkan. Meleleh lagi air liur teringat kenangan lalu.

ACURA-NSX-2017-MEKANIKA (8)

Kini NSX generasi pertama telah dikategorikan sebagai collector’s item bagi penggemar kereta. Walaupun banyak yang telah diimport ke Malaysia namun cukup sukar untuk menemuinya di pasaran terpakai. Cuba cari di dalam Mudah.my, mesti tak ada kan?

Kini generasi kedua sudah menjengah di pasaran serata dunia dan semestinya akan mendarat di Malaysia sedikit masa lagi. Walaupun harganya tentu sekali berada dalam kategori meninggal dunia namun kami yakin ia akan terjual dengan cukup laris. Buktinya Honda NSX terdahulu dijual sekitar RM250,000 sekitar tahun 1995 dan tetap sold-out. Apatah lagi jika ia ditawarkan dengan dengan pakej beli satu percuma satu seperti ini.

Selain dari itu kami juga yakin NSX baru ini juga bakal menggegar litar Japan GT yang sudah sekian lama didominasi oleh Nissan GTR. Ini juga boleh dianggap sebagai comeback buat semua peminat NSX yang sudah menunggu sekian lama.

 

Google ads
Back to top button