Artikel PilihanBuletin

BELI OPEL STATION WAGON, PERCUMA SELUAR DALAM

Di zaman serba moden ini kita sudah menyaksikan pelbagai bentuk iklan kereta, baik kereta tempatan mahupun luar negara. Ada yang bertemakan patriotik, cinta, kekeluargaan dan sebagainya. Tapi yang ini memang pelik bin ajaib. Beli sebuah Opel station dan anda akan mendapat seluar dalam percuma. Nasib baik bukan beli seluar dalam dapat sebuah kereta!

Idea mengeluarkan pakaian berasaskan jenama-jenama kereta bukan sesuatu yang baru. Masuk sahaja ke bahagian pakaian kita akan dapati jenama seperti Ferrari, Ducati, Vespa, Mercedes-Benz dan macam-macam lagi digabungkan dengan jenama-jenama pakaian terkenal.

Ia cukup laris terjual walaupun dengan harga menyamai sebuah Honda C70 untuk sehelai jaket. Maklumlah nak beli Ferrari dengan pendapatan majoriti rakyat negara memang mati hidup balik pun tak terbeli. Dapat kasut Puma Ferrari pun jadilah.

Pengeluar kenderaan dari Jerman ini telah membuat keputusan berdasarkan laporan kajian mereka sendiri di Denmark. Kajian itu menunjukkan penurunan kadar hormon testosterone di kalangan lelaki telah mengakibatkan kadar jualan model station wagon telah jatuh menjunam.

Apa jalan penyelesaiannya? Sehelai seluar dalam baru! Sebenarnya bukan hanya di Denmark sahaja, pasaran wagon di Malaysia juga cukup suram walaupun suatu ketika dulu negara kita cukup meriah dengan Datsun Wagon dan Mitsubishi Galant Wagon. Kini pasaran wagon hanya terhad kepada Volvo dan terbaru Peugeot.

Opel menerangkan bagaimana kekurangan hormon testosterone menyumbang kepada perasaan kurang keyakinan diri dan keinginan seksual. Ini boleh mengakibatkan seseorang lelaki membuat keputusan “terdesak”, contohnya membeli model kereta sports yang menonjol berbanding membeli sebuah kereta yang lebih praktikal.

opel seluar dalam (1)

Fakta ini diyakini telah membuatkan pasaran model station wagon semakin lembap. Tetapi syarikat ini mengambil jalan keluar dengan mereka barisan model seluar dalam khusus untuk meningkatkan kadar testosterone di kalangan lelaki Denmark. Kami pun tidak pasti kenapa langkah ini diambil berbanding menghasilkan model station wagon yang lebih sporty. Mungkin atas faktor kos R&D?

Seleksi seluar dalam khas ini dinamakan Ride Comfortably by Opel: The Astra Sports Tourer Collection. Jurucakap Opel menyatakan produk mereka ini dihasilkan menggunakan material yang mampu mengalirkan udara dengan baik dan cukup selesa untuk semua golongan lelaki tanpa mengira bentuk dan saiz.

Sebelum anda berfikir bukan-bukan, ia merujuk kepada saiz badan lelaki, contohnya tubuh lelaki Asia ataupun Eropah. Rupanya-rupanya memastikan komponen dalaman dalam keadaan nyaman dan selesa cukup penting untuk meningkatkan kadar testosterone.

Memandangkan ianya dikhususkan untuk individu yang kurang keyakinan diri, syarikat Opel berusaha lebih dengan memberi tugasan mereka seluar dalam ini kepada pakar-pakar “hiasan dalaman” terbaik dari Denmark untuk memastikan keselesaan kepada para pelanggan bertuah mereka.

Para lelaki di Denmark yang berani menyahut cabaran Opel ini boleh mendapatkan sepasang seluar dalam percuma di ridecomfortably.dk . Jika Opel berjaya menjual lebih banyak station wagon dengan bantuan seluar dalam khas ini, mungkin kami akan meminta General Motor memperkenalkan produk yang sama.

Mungkin juga selepas ini kita akan dapat melihat lebih ramai yang berminat untuk mendapatkan sebuah station wagon. Tapi macam mana pula dengan pasaran model-model sports? Itu tiada masalah, mereka dah lama memasarkan t-shirt, jaket, kasut, seluar, stokin, topi dan segala macam produk lagi kecuali seluar dalam!

 

 

Google ads
Back to top button