BuletinMotosikal

BENELLI TRK251 DILANCARKAN DI INDONESIA. MALAYSIA BAKAL MENYUSUL…

Motosikal kategori lightweight adventure touring mula mendapat tempat di kalangan peminat motosikal kembara di seluruh dunia sejak beberapa tahun lepas. 

10 tahun dahulu, pasaran bagi kategori ini sangat berbeza di mana pelopornya masih berada dalam lingkungan motosikal 650cc seperti Aprilia Pegaso dan Kawasaki KLR. Namun, dengan kejuruteraan yang semakin membangun serta motosikal semakin murah, kategori kecil mula diperkenalkan.

Di pasaran Malaysia misalnya, kita ada Kawasaki Versys X250, Benelli TRK502, Honda CB500X, CRF250 dan juga diserikan dengan KTnS 250cc lebih kecil. Tetapi apa lagi pilihan yang ada?

Indonesia baru sahaja melancarkan Benelli TRK251, motosikal kembara entry level yang sesuai untuk semua penunggang. Ye lah, bukan semua orang mampu beli BMW GS dan tak semua orang boleh kendalikan Verys 650cc, jadi jawapan bagi penunggang amatur yang baru berjinak-jinak untuk menceburi arena pengembaraan adalah yang ini – Benelli TRK251.

BACA: TUNGGANG UJI BENELLI TRK502

Varian kembara terbaru daripada Benelli untuk dunia ini diperkenalkan pertama kali pada pameran motosikal antarabangsa EICMA yang lepas.

Seperti yang anda bayangkan, ia adalah versi suku liter dalam liga yang sama dengan Kawasaki Versys X250 dan Suzuki V-Strom 250. Benelli percaya, kapasiti jenama Itali memungkinkan mereka merebut pasaran yang sedang membesar di negara-negara Asia Tenggara dan Eropah untuk kelas lesen lebih rendah.

Apa yang ditawarkan?

TRK251 dibina dengan kerangka tiub besi trellis dan enjin selinder tunggal 250cc DOHC. Enjin dari TNT25 ini menghasilkan 25.4 kuasa kuda pada 9250 RPM dan 21 Nm tork pada 8000 RPM.

Ia disejukkan sistem cecair dan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan. Nampak biasa sahaja bukan? Tapi dalam kelasnya, TRK251 dipasangkan dengan suspensi hadapan teleskopik jenis USD.

Walaupun dipasangkan dengan brek cakera tunggal, ia sebenarnya dilengkapi dengan pengangkup empat omboh bersama cakera bersaiz 280mm di hadapan. Brek belakangnya pula dipasangkan dengan cakera 240mm dan sementara saiz tayarnya pula ialah 110 di hadapan dan 150 di belakang.

Dan untuk melengkapkan rekaannya sebagai sebuah kembara tulin, ia dipasangkan dengan tangki bahanapi 17 liter. Cukup besar untuk sebuah motosikal enjin satu selinder suku liter.

Indonesia adalah negara pertama yang menerima TRK251 selepas dipertontonkan di Itali dalam pameran EICMA yang lalu.

Malaysia?

Kami cuba merisik mendapatkan maklumat dan apa yang kami perolehi ialah…

Ia sah akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh pengedar MForce Holding. Cuma tarikhnya belum lagi ditentukan bila…

GALERI

 

 

Google ads
Back to top button