BMW 740Le xDrive PLUG-IN HYBRID – RM598,800 SEUNIT!

SHARE

BMW Group Malaysia malam semalam memperkenalkan varian terkini BMW 7 Series, BMW 740Le xDrive serba baharu ke pasaran Malaysia.

BMW 740Le xDrive hadir dengan penampilan yang hebat menerusi tapak roda dan perkadaran seperti model sebelumnya. Seterusnya mengekalkan kedudukannya sebagai model sedan paling besar yang pernah dibina oleh BMW sehingga kini. Gaya yang elegan itu disempurnakan lagi dengan satu set rim aloi ringan jejari berkembar bersaiz 19 inci.

Sedan mewah itu menggabungkan inovasi terbaik enjin pembakaran dalaman dan sistem pacuan elektrik. Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 2.0 liter dengan BMW TwinPower Turbo yang diambil daripada keluarga enjin EfficientDynamics BMW Group.

Menjadi enjin paling berkuasa pernah dipasang pada model siri keluaran BMW, ia mampu menjana kuasa maksimum 258hp dengan tork puncak 400Nm.  Dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang telah dioptimumkan, BMW 740Le xDrive berupaya mencatat kelajuan maksimum 250km/j.

Manakala kepakaran eDrive pula diambil daripada BMW i yang membolehkan kereta mencapai output maksimum 113hp dan tork 250Nm dalam mod pemanduan elektrik sepenuhnya.

Gabungan enjin dan sistem pacuan elektrik menawarkan output mencecah 326hp dan tork puncak 500Nm. Ini membolehkan sedan plug-in hybrid ini memecut dari 0 – 100km/j dalam masa hanya 5.3 saat.

Butang eDrive yang diletakkan di konsol tengah membolehkan pemandu menentukan konfigurasi sistem pacuan plug-in hybrid. Dalam mode AUTO eDrive, enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik diselarikan secara pintar untuk memaksimumkan pemanduan bebas emisi. Ia hanya akan mengaktifkan enjin pembakaran dalaman pada kelajuan sekitar 80km/j atau apabila pendikit minyak ditekan keras.

Pemanduan elektrik sepenuhnya ditawarkan dalam mode MAX eDrive, di mana kereta digerakkan oleh motor elektrik. Biarpun begitu, enjin pembakaran dalaman boleh diaktifkan dengan menekan pendikit minyak.

Akhir sekali, mode Battery Control membolehkan pemandu untuk mengaktifkan penggunaan bateri secara manual dengan menetapkan jumlah caj untuk digunakan dalam perjalanan nanti.

Atmosfera ruang kabin diperkaya dengan rekaan lampu ambien yang merangkumi Welcome Light Carpet pada bahagian hadapan pintu depan. Sama seperti BMW 7 Series generasi keenam, BMW 740Le xDrive turut menampilkan bumbung kaca panoramik Sky Lounge yang dipasang dengan lebih 15,000 butiran lampu LED.

Beralih ke bahagian belakang kereta, unit kawalan BMW Touch Command diletakkan di konsol tengahnya. Sebagai tablet bersaiz 7 inci pertama yang boleh dialih keluar dan disambung dengan sistem kenderaan, penumpang kini boleh mengakses semua fungsi hiburan dan ciri keselesaan yang ada.

Aplikasi BMW Connected app.

Arahan ke atas sedan plug-in hybrid ini boleh dibuat menerusi aplikasi BMW Connected. Melalui aplikasi BMW Connected, pemandu boleh meningkatkan keselesaan ruang dalaman kenderaan dengan mengawal fungsi pendingin hawa menggunakan telefon pintar.

Aplikasi BMW Connected juga membolehkan pengguna memantau tahap caj bateri, lokasi stesen pengecasan, jarak menggunakan tenaga elektrik sepenuhnya dan jumlah petrol yang dapat dijimatkan.

Pelbagai status data kenderaan dan operasi fungsi terpilih juga boleh dikendalikan oleh BMW Display Key melalui ciri Touch Display bersepadunya. Pemandu boleh memeriksa takat minyak di dalam tangki, jarak terkini kenderaan, status caj, status sistem kunci berpusat, tingkap dan bumbung kaca, mengetahui masa serta mengaktifkan sistem pendingin hawa dan ventilasi dari dalam kenderaan.

Kecekapan luar biasa

Memanfaatkan Teknologi BMW eDrive yang diambil daripada kepakaran BMW i, BMW 740Le xDrive mencatatkan penggunaan bahan api cuma 2.5l/100km dan emisi CO2 56g/km. Penggunaan tenaga elektrik oleh sedan ini juga cukup mengagumkan iaitu 13.9 kWh bagi setiap 100km.

Turut ditawarkan pada sedan plug-in hybrid mewah ini ialah BMW ConnectedDrive serta pelbagai sistem bantuan pemanduan. Ini termasuklah paparan head-up terbaru BMW, Parking Assistant, Driving Assistant Plus dan sistem Surround View.

 

Opsyen mengecaj dengan BMW 360° ELECTRIC.

Dengan kapasiti tenaga kasar mencecah 9.2 kWh, bateri lithium-ion pada BMW 740Le xDrive Serba Baharu boleh dicaj semula menggunakan soket kuasa domestik.

Manakala caj penuh menggunakan BMW i Wallbox Connect boleh dicapai dalam masa kurang lima jam. Proses mengecaj boleh diuruskan sama ada menerusi aplikasi BMW Remote pada telefon pintar atau grafik dalam kluster instrumen kereta.

Sebagai sebahagian daripada program BMW 360° ELECTRIC, para pemilik BMW 740Le xDrive telah menyertai pembeli BMW i8, BMW 330e dan BMW X5 xDrive40e untuk menikmati akses mudah ke rangkaian 181 stesen ChargEV milik GreenTech Malaysia di seluruh negara melalui servis mobiliti BMW ChargeNow.

BMW 740Le xDrive Serba Baharu didatangkan dalam warna hitam, biru, putih dan kelabu. Pada bahagian dalam pula, upholsterinya ialah kulit Nappa yang eksklusif bersama kemasan kayu berwarna kelabu (Poplar Grain Grey). BMW 740Le xDrive Serba Baharu sudah boleh didapati di semua pengedar sah BMW di seluruh negara mulai hari ini.

Harga runcit (di atas jalan tidak termasuk insurans, merangkumi Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 Tahun terkini daripada BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan Tayar BMW) untuk BMW 740Le xDrive ialah:

Harga runcit sebelum insentif kelulusan hibrid daripada kerajaan – RM853,800

Insentif kelulusan hibrid daripada kerajaan  – RM255,000

Harga runcit selepas insentif kelulusan hibrid daripada kerajaan – RM598,800

BACA: JIKA BMW NAK BUAT PIKAP, MUNGKIN INILAH RUPANYA

BACA: BMW BANTU HASILKAN JENTERA PENGOREK HIBRID UNTUK MASA HADAPAN

GALERI

(Visited 39 times, 4 visits today)

Share this post

scroll to top