Buletin

BMW GROUP MALAYSIA MULA EKSPORT MINI COUNTRYMAN KE THAILAND

BMW Group Malaysia baru-baru ini menghantar kumpulan pertama MINI Cooper S Countryman dan MINI Cooper S Countryman Hightrim untuk dieksport ke Thailand.

“Kami membangunkan fasiliti pemasangan domestik di sini bersama Sime Darby Berhad serta jaringan pembekal tempatan. Ia merupakan antara 30 buah kilang produksi BMW Group di dunia yang penting untuk pasaran Asia Tenggara,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

Inisiatif eksport ke rantau Asia Tenggara mengikuti kejayaan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA). ATIGA menggalakkan perdagangan intra-ASEAN, memastikan aliran bebas bagi barangan dan membantu BMW Group untuk memanfaatkan kilangnya dengan lebih efisien.

MINI Cooper S Countryman

Harga: 2,299,000 baht (RM259,557) termasuk cukai VAT dan pakej standard MSI.

MINI Cooper S Countryman tampil dengan karakter yang unik, tulen dan klasik. Ia dikuasakan oleh enjin petrol 2 liter, 4 silinder dengan teknologi TwinPower Turbo yang mampu menjana 192hp dan tork maksimum 280Nm pada 1,350 – 4,600rpm.

Dipadankan dengan transmisi automatik Steptronic 8 kelajuan, sterengnya dibalut kulit. Jentera itu juga juga didatangkan dengan rim aloi Pair Spoke bersaiz 18 inci.

MINI Cooper S Countryman menawarkan ruang lebih luas dengan lima tempat duduk. Skrin sentuh 6.5 inci itu pula memaparkan navigasi, maklumat penting data kenderaan dan hiburan.

MINI Cooper S Countryman Hightrim

Harga: 2,499,000 baht (RM282,137) termasuk cukai VAT dan pakej standard MSI.

MINI Cooper S Countryman Hightrim diserlahkan menerusi kemasan ‘Chrome Line’ pada bahagian dalaman dan luarannya.

Kamera pandangan belakang yang dilengkapi sistem ‘Parking Assistant’ memudahkan lagi tugasan memarkir. Model ini menggunakan enjin yang sama seperti Cooper S Countryman.

Ruangan kabin digayakan dengan warna hitam (MINI Yours Piano Black Illuminated). Sementara sistem bunyi Harman Kardon pasti mengujakan anda sepanjang perjalanan.

Diinspirasikan oleh kokpit kapal terbang, paparan Head-Up MINI memaparkan palbagai maklumat pemanduan. Skrin sentuh bersaiz 8.8 inci yang terletak pada instrumen tengah pula dilengkapi ciri MINI Connected.

Google ads
Back to top button