BMW GROUP MALAYSIA SERAH 12,681 UNIT KENDERAAN PADA TAHUN 2017

SHARE

BMW Group Malaysia mencatat prestasi terbaiknya di negara ini apabila 12,681 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad telah berjaya diserahkan pada tahun 2017.

Ini merupakan tahun ketujuh berturut-turut pengeluar kereta premium itu mencatat prestasi paling tinggi, seterusnya mencapai pertumbuhan 16% berbanding tempoh sama untuk tahun 2016 (10,906 unit).

BMW menyaksikan pertumbuhan sebanyak 18% pada tahun 2017 dengan jumlah penghantaran keseluruhan kenderaan BMW mencecah 10,618 unit, berbanding 9,000 unit pada tahun 2016.

Isuzu Dmax Desktop

Pertumbuhan itu dipacu oleh model BMW 3 Series dengan 3,564 unit – 2,408 unit daripadanya ialah BMW 330e dan BMW 330e M Sport. BMW X5 xDrive40e juga menjadi penyumbang utama kepada prestasi jenama dengan lebih 3,000 unit berjaya dijual tahun lalu.

Sebanyak 400 unit BMW 740Le xDrive yang diperkenalkan pada separuh pertama 2016 dan mengangkat konsep Driving Luxury to the Mobility of the Future pula telah berjaya diserahkan.

Mahu memacu portfolio produk kenderaan BMW Hybrid dan Teknologi eDrive ke hadapan, BMW Group Malaysia akan terus mengutamakan aspek infrastruktur dan perkhidmatan mobiliti dalam strateginya, demi menjadikan pemanduan kereta elektrik lebih selesa, mudah serta menyeronokkan pada setiap hari.

Pelancaran sedan perniagaan sport paling progresif, BMW 5 Series pada separuh pertama 2017 juga memacu jualan jenama ini dengan lebih 1,600 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan.

MINI juga dilihat semakin kukuh apabila mencatat rekod prestasi terbaik pada tahun 2017 dengan 1,010 unit MINI berjaya diserahkan. Ini merupakan peningkatan sebanyak 12% berbanding tahun sebelumnya (902 unit).

Pencapaian itu meletakkan MINI sebagai jenama kedua paling pantas berkembang dalam segmen premium di Malaysia dan kini menjadi jenama ketiga terbesar dalam segmen tersebut.

Tahun lalu, MINI menambah model MINI Countryman, MINI John Cooper Works Clubman dan MINI John Cooper Works Countryman ke dalam portfolionya.

BMW Motorrad pula menyerahkan sebanyak 1,052 unit motosikal, mencatat pertumbuhan sebanyak 5% berbanding tahun sebelumnya (1,004 unit).

Tahun 2017 menyaksikan pengenalan lima buah motosikal baharu – BMW S1000RR, BMW R1200GS, BMW K1600 GT, Bagger dan BMW R nineT Urban GS.

BMW Group Malaysia juga telah membuka kemudahan Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau terbaharunya di Zon Perdagangan Bebas di Lapangan Terbang Antarabansa Senai, Iskandar Malaysia.

Kemudahan serantau yang dibina dengan pelaburan lebih RM130 juta itu merupakan antara yang terbesar seumpamanya dan menyokong lebih 22 buah negara di rantau ini.

Pada tahun 2018, BMW Group Malaysia  akan memulakan penghantaran BMW 3 Series, BMW 5 Series dan BMW 7 Series yang pertama ke Vietnam dan Filipina.

Bagi menyokong langkah tersebut, Kilang Pemasangan BMW di Kulim akan meningkatkan keupayaan pengeluaran kepada lebih 10,000 unit pada tahun 2017 dengan pelaburan lebih RM10 juta.

Share this post

scroll to top