Buletin

BMW X2 sDrive20i M Sport – RM320,800 SEUNIT

BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan BMW X2 yang menjadi jentera terbaharu dalam portfolionya bagi segmen Sports Activity Coupe (SAC).

“Model BMW X telah lama bertapak di Malaysia. Tahun lalu sahaja, kami telah menjual lebih 4,200 unit kenderaan BMW X.

“Angka itu mewakili 39.6 peratus jualan keseluruhan BMW iaitu 10,618 unit kenderaan,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl.

BMW X2 didatangkan dalam versi BMW X2 sDrive20i M Sport. Secara keseluruhan, reka bentuk BMW X2 memberikannya ekspresi yang dinamik. Profail jentera itu diserlahkan oleh bumbung coupe serta grafik tingkap yang nipis.

Disertakan dengan gril kidney BMW yang ikonik, reka bentuk trapezoid pada bahagian kepala jentera tersebut juga diubah untuk menonjolkan aspek moden BMW.

Reka bentuk luaran gril itu kini lebih lebar pada bahagian bawah berbanding bahagian atas. BMW X2 merupakan variasi BMW moden pertama yang menampikan reka bentuk tersebut.

Selain lampu kabus LED, BMW X2 dipasang dengan lampu hadapan LED.  Pakej BMW M Aerodynamics disertakan dengan trim tayar dan pelindung pada permukaan kesemua pintu kereta tersebut. Selain spoiler belakang, BMW X2 menggunakan BMW M Sport Suspension yang direndahkan sebanyak -10mm.

BMW X2 menggunakan rim aloi ringan M bersaiz 19 inci dengan rekaan jejari berkembar 715M.

Ruang dalam kenderaan BMW X2 dilengkapi pencahayaan LED bersama pilihan warna seperti oren, tembaga, biru dan putih untuk dipadankan dengan ekspresi luaran kenderaan tersebut.

Dinamik Pemanduan

Sports Activity Coupe ini dikuasakan oleh enjin petrol dua liter, BMW TwinPower Turbo 4-silinder yang menggabungkan twin-scroll turbocaj dengan Valvetronic, dua VANOS dan High Precision Injection.

Secara keseluruhan, enjin itu menjana 192hp dan tork  280Nm dan dipadankan dengan kotak gear dwi-klac tujuh kelajuan Steptronic Sport. Justeru, ia dapat mencapai kelajuan maksimum 227km/j dan mampu memecut dari 0-100km/j dalam masa 7.7 saat.

Dengan hanya menekan suis pada Driving Experience Control, pemandu  boleh memilih mode pemanduan seperti COMFORT, ECO PRO dan SPORT. Ia juga dilengkapi ciri Performance Control yang berfungsi mengawal enjin dan intervensi brek ketika membelok.

Ruang kabin premium

BMW X2 menawarkan ciri praktikal untuk kegunaan seharian. Selain Comfort Access System yang membolehkan pintu but dibuka secara automatik, ruang but kenderaan ini juga luas dan berkapasiti 470 liter.

Ruang but boleh ditingkatkan menjadi 1,355 liter apabila tempat duduk belakang dilipat dengan konfigurasi 40/20/40.

Pendingin hawa automatik pada kedua-dua zon kenderaan membolehkan penumpang belakang duduk dengan lebih selesa.

BMW Connected menawarkan perkhidmatan seperti Intelligent Emergency Call, Teleservices, Concierge Services, BMW Online dan BMW Remote Services.

Sebagai satu-satunya pembuat kereta premium yang menawarkan integrasi seperti ini, gabungan perkhidmatan BMW Connected membolehkan pemandu mengatur rutin harian mereka dengan lebih efisien.

BMW X2 didatangkan dengan warna-warna yang baru seperti emas, biru dan oren metalik. Ruang dalaman yang serba hitam dipadankan dengan kemasan kelabu.

SAC itu juga boleh didapati dalam warna hitam metalik dengan ruang kabin berwarna merah dan kelabu. BMW X2 boleh didapati di semua pengedar sah BMW seluruh negara mulai hari ini.

GALERI

Google ads
Back to top button