Buletin

BONNEVILLE SPEEDMASTER 2018 – KUKUHKAN RANGKAIAN JENTERA MODEN KLASIK TRIUMPH

Selepas berjaya dengan rangkaian motosikal moden klasik Bonneville terutama Bobber, Triumph nampaknya terus mengujakan peminat motosikal apabila memperkenalkan Bonneville Speedmaster 2018 yang telah dinaik taraf.

Speedmaster mula dilancarkan pada tahun 2002 sebagai sebuah factory cruiser yang melengkapkan model Bonneville America.

Pada ketika itu, ia menggunakan enjin 790cc parallel twin, sebelum kapasiti enjinnya ditingkatkan kepada 865cc pada tahun 2005. Selain naik taraf enjin dengan sistem pancitan bahan api, Speedmaster tidak lagi berubah sejak itu.

Justeru, model tahun 2018 tampil dengan pelbagai perubahan. Jentera itu kini menggunakan enjin 1,197cc dengan sistem penyejukan cecair. Mampu menjana kuasa sehingga 76hp dan 20 peratus lebih tork (106Nm) , ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

Dari segi bunyi enjin pula, ia dikatakan lebih ‘dalam’ berbanding bunyi enjin model Bonneville T120

Dilengkapi ciri pendikit ride-by-wire, ia menawarkan dua mode tunggangan iaitu Roada dan Rain. Motosikal ini juga mempunyai sistem kawalan cengkaman yang boleh dikawal menerusi satu suis khas.

Dari segi gaya, Speedmaster banyak mengambil inspirasi rekaan Bobber. Misalnya ialah bahagian belakang, jam tunggal, brek ‘gelendong’ klasik pada roda belakang, kotak bateri dan mudguard tengah. Di samping fin pada bahagian enjin, pendikit badan berkembar seperti karburator, pendakap ekzos dan banyak lagi.

Namun, kedua-dua jentera itu dibezakan melalui kemasan pada lampu utama LED, tangki minyak berkapasiti 12 liter dan tempat duduk yang boleh ditukar dengan mudah. Setangki penuh membolehkan anda menunggang sejauh 285km.

Bagi mereka yang ingin tampil berbeza, Triumph menawarkan lebih 130 aksesori untuk  Speedmaster. Speedmaster bakal berada di pasaran dalam tiga warna iaitu hitam, merah dan putih.

Google ads
Back to top button