Buletin

BOSAN DENGAN HONDA HR-V SEDIA ADA? INI HR-V BLACK EDITION, MAAF UNTUK UK SAHAJA

Sudah terang lagi bersuluh, sekarang ini adalah masa keemasan Honda Malaysia. Siapa sangka, Honda kini berada di tempat kedua dari segi jualan di bawah Perodua. Honda sebenarnya sudah mengatasi Proton, Toyota mahu pun Nissan.

Ini boleh dilihat bagaimana Honda memposisikan produknya selain daripada khidmat selepas jualan. Namun di sebalik model-model arus perdana, Honda Malaysia dilihat agak perlahan dalam mengeluarkan varian istimewa atau edisi khas. Lama dahulu, Honda Malaysia pernah mengeluarkan Honda Civic Mugen Edition, Jazz S Modulo dan juga beberapa edisi dengan perubahan kosmetik yang minor.

Di masa pengeluar lain sibuk dengan varian khas atau istimewa, Honda Malaysia banyak bergantung kepada jualan sedia ada. Maka jalan raya tempatan dibanjiri oleh sejumlah kenderaan Honda yang saling tidak tumpah di antara lain. Yang berbeza hanyalah warna dan kelengkapannya sahaja.

Itupun syukurlah Civic FB dan Jazz turut digemari oleh kaki modifikasi. Nampaklah juga kemeriahan.

Di United Kingdom lain pula ceritanya apabila Honda UK mengeluarkan Black Edition yang merupakan unit terhad CR-V. Selepas melihat populariti CR-V itu, Honda kini menyusuli dengan HR-V Black Edition pula. Bukan itu sahaja, CR-V Black Edition pula diteruskan lagi dengan jumlah unit terhad.

Honda HR-V Black Edition diasaskan dari varian SE dan kini dilengkapi beberapa kelengkapan berwarna hitam seperti running board (pemijak sisi), plet ambang pintu, grill depan, penutup cermin sisi dan roda aloi 18 inci. Bahagian dalaman pula dirias dengan balutan kulit dan karpet SE.

Honda HR-V 1.5 i-VTEC varian asas dengan transmisi manual dipasarkan pada harga GBP 25,000 / RM 138,579.36 (di atas jalan), versi CVT berharga GBP 26,210 / RM 145,286.60 manakala varian diesel dengan transmisi manual pula GBP 26,820 / RM 148,667.94.

Honda HR-V dilancarkan di UK dan Eropah pada 2015 dan ia sebenarnya adalah generasi kedua yang pertama kali dilancarkan pada 1999.

BACA: HONDA HR-V MUGEN DENGAN SISTEM HIBURAN PREMIUM

Google ads
Back to top button