Buletin

BUGATTI HASILKAN ANGKUP BREK GUNA PENCETAK 3-D

Pengeluar supercar, Bugatti dilapor telah membangunkan angkup brek menggunakan pencetak tiga dimensi (3-D).

Lebih menarik lagi, ketika material utama yang digunakan dalam penghasilan komponen kenderaan ialah aluminium, angkup brek itu sebaliknya diperbuat daripada titanium.

Ini sekali gus menjadikan angkup brek monoblok lapan omboh itu sebagai komponen titanium paling besar yang dihasilkan menerusi proses cetakan 3-D.

Kejayaan tersebut dicapai menerusi kerjasama dengan pihak Laser Zentrum Nord dari Hamburg, Jerman. Ia merupakan sebuah institut yang dibentuk sebagai sebahagian daripada organisasi penyelidikan Fraunhofer.

Tempoh pembangunan angkup brek titanium sebenarnya cukup pendek, hanya tiga bulan sahaja. Pencetak 3-D berprestasi tinggi di Laser Zentrum Nord itu dilengkapi 400 watt lazer dan mengambil masa 45 jam untuk mencetak satu angkup brek.  

Dengan pengenalan angkup tersebut, Bugatti dilihat bakal memacu fungsi cetakan 3-D ke dalam Volkswagen Group. Angkup brek berkenaan dijangka dipasang pada kenderaan bermula separuh pertama tahun ini.

Pendekatan mencetak angkup brek ini dilihat menjadi pencetus kepada penghasilan lebih banyak komponen yang lebih kompleks dan sebelum ini sukar dibuat menggunakan proses konvensional.

Aloi titanium ini biasanya digunakan dalam industri aeroangkasa seperti pada bahagian bawah dan sayap pesawat. Ia memiliki tahap regangan yang sangat tinggi dan sukar untuk retak.

Malah, angkup yang sepanjang 41cm, 21cm lebar dan setinggi 13.6cm itu hanya seberat 2.9kg, berbanding 4.9kg jika menggunakan aluminium.

Bugatti kini menggunakan brek paling berkuasa di dunia pada Chiron baharu. Angkup breknya ditempa daripada satu blok aloi aluminium yang sangat kuat.

Dengan lapan omboh titanium pada angkup brek hadapan dan enam di brek belakang, ia merupakan angkup brek paling besar pernah dipasang pada sebuah kereta produksi.   

Google ads
Back to top button