Buletin

BUKAN HOTWHEELS TAPI LEGO FORD FIESTA WRC, MUSTANG PUN ADA SEKALI

Demam Hotwheels sememangnya semakin kuat sejak kebelakangan ini. Koleksi JDM atau siri unik yang dikeluarkan sentiasa dinantikan untuk direbut dan kemudian disimpan untuk koleksi peribadi atau dijual semula. Harga pula memang meletup dan satu kelebihan tentang negara kita ialah kilang mainan itu berada di Pulau Pinang.

Dengan itu juga, pasaran tempatan ditawarkan dengan koleksi yang lebih awal berbanding pasaran lain dan ini memberi peluang kepada reseller untuk menawarkannya di platform jualan antarabangsa. Cuma darab USD 40 dengan matawang negara, kaya! kaya!

Ini pula satu yang istimewa, bukan dari Hotwheels tetapi dari LEGO. Dengan kerjasama M-Sport, LEGO Group telah mendedahkan siri model terbaru dari koleksi LEGO® Speed Champions iaitu kereta rali M-Sport Ford Fiesta WRC.

Untuk makluman, M-Sport adalah juara WRC 2017 dan tahun ini Ford telah kembali bersaing dalam perlumbaan rali antarabangsa selepas berehat pada musim lalu.

Memandangkan ini adalah kereta WRC maka buatannya agak rumit juga dengan pelbagai bentuk kit badan. Pereka LEGO walau bagaimanapun berjaya menyempurnakan tugas mereka dalam menghasilkan kereta WRC tersebut siap dengan arka roda mengembang dan bahagian depan serta spoiler belakang yang bertingkat-tingkat. 

LEGO bukan setakat menyiapkan sebuah kereta tetapi juga lengkap dengan kit tambahan ala persiapan WRC sebenar. Kit tambahan tersebut terdiri daripada pilihan roda, bonet enjin dengan lampu limpah untuk perlumbaan malam dan pelumba yang siap dengan topi keledar dan sut rali.

Pelumba LEGO dengan identiti senyuman trademark (geram pula nak sekeh) boleh diletakkan di kerusi pemandu melalui cermin depan yang boleh ditanggalkan.

Ford Fiesta M-Sport WRC LEGO Speed Champions mempunyai 203 unit cantuman berasingan dengan ukuran dua inci tinggi dan lebar dan lima inci panjang.

Selain itu, Ford dan LEGO juga telah memperkenalkan model 1968 Ford Mustang Fastback yang baru kepada rangkaian LEGO® Speed ​​Champions.

Kit 184 keping ini mempunyai badan yang berwarna hijau dengan roda berwarna emas dan dilengkapi dengan papan pemasa, pelekat grafik perlumbaan, cermin kaca yang boleh ditanggalkan dan pemandu LEGO (lagi sekali rasa nak sekeh) memakai sut perlumbaan bergaya klasik.

LEGO Speed ​​Champions juga mempunyai dua lagi model Ford iaitu GT40 dan kereta lumba Ford GT yang memenangi Le Mans 24 Hours pada tahun 1966 dan 2016. 

Kereta M-Sport Ford Fiesta WRC tahun lalu berjaya memenangi kedua-dua kejohanan FIA WRC dalam kategori pemandu dan pengeluar. 

Kemenangan itu disempurnakan oleh pemandu Sébastien Ogier dan pemandu arah Julien Ingrassia dan pada tahun ini mereka disertai oleh pasangan Elfyn Evans dan Daniel Barritt.

Dikuasakan oleh enjin petrol EcoBoost 1.6 liter Ford, kereta rally M-Sport Ford Fiesta WRC tahun ini menggunakan Ford Fiesta yang baru dilancarkan di Eropah pada tahun lalu.

Musim WRC 2018 bermula dengan baik untuk Ford apabila Ogier dan Ingrassia telah menjuari perlumbaan pembukaan di Rallye Monte-Carlo bulan lepas.

Panjang pula cerita tentang WRC dan untuk mereka yang berminat untuk mengumpul koleksi ini, harga yang ditawarkan tidaklah mahal mana, hanya GBP 12.99 atau RM 71.40.

Set LEGO Speed Champions M-Sport Ford Fiesta WRC rally car dan 1968 Mustang Fastback boleh didapati di LEGO.com/shop bermula 1 Mac depan.

Memandangkan demam jualan semula belum lagi melanda set LEGO, elok juga set ini dibeli dan mana tahu boleh mencanak macam set Hotwheels. Untung-untung boleh buat tambah rezeki. Sekian.

BACA: NAMPAK MACAM MUSTANG, TAPI SEBENARNYA..ERRR MAZDA MX5 MIATA?

BACA: LELAKI 97 TAHUN INI PEMILIK FORD MUSTANG PALING OTAI DI DUNIA

Google ads
Back to top button