BuletinMotosikal

CUBPRIX 2018: FUAD YAKIN PELUMBA MAMPU BERI CABARAN

Pengurus pasukan Sic Junior Team AFB Tech Racing, Ahmad Fuad Baharudin percaya pasukannya tetap akan tampil dengan aksi terbaik meskipun ketiadaan pelumba utama, Md Danial Syahmi dalam saingan WIRA KBS pada Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan, hujung minggu ini. 

Danial yang ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan berkongsi 133 mata bersama pendahulu, Md Syarifuddin Azman terpaksa melupakan perlumbaan minggu ini kerana sedang menjalani rawatan akibat kemalangan sewaktu perlumbaan Idemitsu Asia Talent baru-baru ini.
Bagaimanapun Ahmad Fuad yakin pelumba-pelumbanya yang lain seperti  Harith Haziq Zamri, Danel El Fahim, dan Md Sharul Ezwan Md Sharil mampu memberikan cabaran dan seterusnya dapat menamatkan saingan di atas podium.
“Memang satu merugian besar kepada pasukan dengan ketiadaan Danial dan juga kerugian kepada dirinya sendiri. Namun begitu, situasi ini tidak boleh dielakkan dalam dunia perlumbaan. Apa sahaja boleh berlaku. Kami doakan dia cepat sembuh dan menjadikan insiden ini untuk dia bangkit lebih kuat pada masa akan datang,” jelas Ahmad Fuad.
“Harith merupakan antara pelumba yang pernah menaiki podium pada musim ini meskipun penggal pertama dia beraksi dalam kategori WIRA KBS. Tidak mustahil dia mampu mengulanginya pada minggu ini.”
Mengulas kekosongan yang ditinggalkan Danial, Ahmad Fuad berkata, “Kami tidak menggantikan tempat Danial dengan pelumba lain cuma pada minggu ini, pelumba CP115 kami, Md Idil Fitri akan beraksi dalam kategori WIRA KBS. Dengan pengalaman beraksi bersama jentera yang lebih laju sebelum ini, tidak mustahil dia mampu menempatkan diri di atas podium.”
Google ads
Back to top button