Buletin

DAIHATSU COPEN. PERODUA – KAMI MAHU YANG INI

Perjalanan ke Gaikindo mengingatkan saya tentang sebuah kereta yang pernah hype tak lama dahulu di mana kedengaran gosip bahawa Perodua berura-ura mahu membawa masuk Daihatsu Copen. Hanya bila mengetahui harga jualannya di Indonesia, model yang diimport penuh dari Jepun ini nampaknya sangat tipis harapan dijual di sini.

Daihatsu Copen ialah sebuah roadster kompak yang bersaiz Kei Car mengikut regulasi Jepun. Berukuran 3.395 meter panjang dan 1.475 meter lebar, ia bukanlah kenderaan yang sempurna dari segi saiz standard hari ini.

Ia direka untuk pasaran demostik Jepun dan perlu memenuhi piawaian ketat dari segi saiz badan dan kapasiti enjin.

Regulasi Kei Car secara asasnya, tidak boleh melebihi 3.4 meter panjang, 1.5 meter lebar dan 2 meter tinggi. Enjin pula tidak boleh lebih dari 660cc dan maksima 64ps.

Sekatan ini menjadikan jurutera Jepun lebih kreatif. Kereta-kereta kecil seperti Daihatsu Mira (Kancil, Kelisa, Kenari dan Viva) adalah contoh bagaimana sebuah negara kecil mampu menyediakan pengangkutan asas kepada rakyatnya tanpa menyesakkan jalanraya.

Kei Car bukan sahaja tertakluk pada kereta penumpang, ia termasuklah van komersial seperti Daihatsu Hijet dan lori pikap kecil yang sangat kritikal fungsinya untuk mobiliti domestik tanpa memadatkan negara kecil dengan infrastruktur bersaiz mini.

BACA: MODIFIKASI KEI-CAR, KANCIL MODERNO

Anda mesti pergi ke Jepun dan lihat saiz jalan, tempat parkir terbuka, parkir dalam bangunan untuk lebih jelas dengan apa yang saya maksudkan.

Namun kereta-kereta kecil ini mendapat perhatian pasaran di luar. Selain rebadge (Perodua), Daihatsu mempunyai reputasi yang bagus di pasaran beberapa negara Eropah, Hong Kong dan Taiwan yang memiliki poliferasi geografi yang hampir sama.

Sebagai contoh, Honda S660 yang telah direka semula untuk pasaran bukan sahaja untuk domestik Jepun.

Bagi mendapat gambaran jelas bagaimana kereta dengan market “niche” ini boleh dijual, kita mesti melihat contoh terdekat iaitu pemasaran Daihatsu Copen di Indonesia.

Ia bukanlah sebuah model yang berjaya pun malah sejak dilancarkan tahun lepas, saya belum pernah lagi melihat kereta ini di mana-mana jalanraya di sana.

Namun bagi sebuah pengedar yang menjual banyak model, Copen lebih kepada strategi pasaran. Daihatsu Indonesia mempunyai rangkaian model yang pelbagai seperti Sigra (Axia MPV), Xenia (Avanza), Terios (Rush/Nautica), Sirion (Myvi), Ayla (Axia) dan Luxio (Gran Max).

Dengan angka jualan model lain yang boleh dijustifikasikan kepada “majikan” mereka Daihatsu Motor Jepun sudah tentu menjual Copen hanya lebih kepada mempelbagaikan produk.

Harganya bermula Rp 421 juta rupiah atau RM130 ribu kerana mereka tahu pasarannya sangat kecil untuk memastikan kereta ini disediakan dengan pakej jaminan, penyelenggaraan, alatganti dan servis lepas jualan.

Jadi adakah akan dijual di Malaysia?

Kami berpendapat, ianya sangat mustahil. Apa lagi dengan kedudukan Perodua hari ini yang selesa dan sejarah garis pasaran mereka yang sangat jelas. Pelanggan Perodua adalah pengguna asas yang mesti dijual sebagai kereta murah.

Mereka sudah alami kesilapan dengan model Nautica (yang diimport penuh dari Jepun).

Pada tangga harga RM70 ribu, Perodua tidak akan mendapat pelanggan dan bayangkan jika Copen di “rebadge” sekalipun, pastinya ia masih mahal untuk di bawa ke sini. Harganya mungkin melebihi paras 6 digit dan itu jelas bukan pasaran pelanggan mereka.

Kami lebih optimis jika Perodua membawa masuk model-model teras kecil seperti gantian Kenari.

Lihat sahaja pasaran tempatan, kereta-kereta kecil dalam julat harga RM30K-40K mendapat sambutan cukup hangat. Namun dengan pelancaran Bezza dengan sambutan luar jangka, kami lihat model akan datang Perodua akan lebih jauh lagi jarak masa pengenalannya.

BACA: DAIHATSU COPEN DRESS FORMATION

Google ads
Back to top button