DEFTECH BINA BAS ELEKTRIK SUPER QUICK CHARGE PERTAMA DI MALAYSIA

SHARE

DRB-HICOM Defence Technologies Sdn Bhd (DEFTECH), anak syarikat milik penuh DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) telah diamanahkan untuk membina dan menyelenggara kenderaan elektrik (EV) Super Quick Charge (SQC) pertama Malaysia – bas Putra NEDO EV.

Projek SQC adalah hasil program pemindahan teknologi di antara kerajaan Malaysia dan Jepun. Memorandum Persefahaman ini telah ditandatangani di antara Perbadanan Putrajaya (PPj) dan New Energy and Industrial Technology Development Organization (NEDO) Jepun.

NEDO diusahakan oleh konsortium Jepun yang terdiri daripada Toshiba Infrastructure Systems & Solutions Corporation, PUES Corporation, Hasetec Corporation dan Oriental Consultants Global Company Limited.

DEFTECH dijangka menjadi hab serantau bagi pengeluaran bas SQC EV di masa hadapan. Bas SQC EV menggunakan teknologi yang berbeza berbanding bas EV lain yang beroperasi di Malaysia, dan mungkin di rantau ASEAN.

Sistem Super Quick Charging (SQC) hanya memerlukan 10 minit untuk dicaj sepenuhnya antara setiap perjalanan (purata 30km) melalui overhead pantograph. Kebanyakan bas komersial EV lain umumnya memerlukan semalaman untuk dicaj semula (dianggarkan 6-8 jam) untuk beroperasi secara optimum.

Mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, serta Jabatan Pengangkutan Jalan, projek ini merupakan langkah pertama dalam menjadikan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan sebagai sebuah bandar hijau.

Setakat ini, DEFTECH telah diamanahkan untuk mengeluarkan 11 unit bas satu tingkat EV. Sebanyak 8 unit bas telah diserahkan kepada PPj dan telah pun beroperasi, manakala baki 3 unit dijadual dihantar pada tahun 2018.

Bas Putra NEDO EV dikendalikan oleh Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (Nadiputra), anak syarikat milik penuh PPj yang menjalankan perkhidmatan di kawasan Putrajaya.

(Visited 350 times, 95 visits today)

Share this post

scroll to top