DI AUSTRALIA, TOYOTA TAWAR PULANGAN WANG JIKA KENDERAAN TIDAK BOLEH DIBAIKI

SHARE

Apabila Proton melancarkan X70 ia datang dengan pakej waranti di antara terbaik di pasaran. Lima tahun tanpa had perbatuan. Maknanya pemilik boleh memandu sepuas hati dalam tempoh tersebut.

Sebenarnya ini bukan kali pertama Proton melakukan tindakan sebegitu. Sebelum ini Proton telah menawarkan waranti selama tujuh tahun sempena kempen khas malah syarikat nasional itu pernah memberikan waranti seumur hidup untuk tingkap kuasa.

Waranti adalah satu elemen penting dalam penjualan kenderaan. Ia adalah cerminan pengeluar terhadap produknya sendiri di samping memberi keyakinan yang lebih kepada pelanggan.

Waranti juga adalah alat penting dalam memberi lebih nilai kepada pengguna.

Jika dahulu waranti selama tiga tahun dan had perbatuan 60,000 km diberi pengeluar, sekarang ini rata-rata waranti yang ditawarkan ialah selama lima tahun dengan had perbatuan 100,000 km.

Walaupun anda adalah pengeluar berjaya dengan reputasi tinggi, itu tidak bermakna waranti perlu diberi perhatian ringan.

Toyota Australia baru sahaja mengumumkan tempoh waranti sehingga tujuh tahun untuk enjin dan transmisi kenderaan yang dijualnya.

Tawaran tersebut adalah sempena pengenalan program Toyota Warranty Advantage untuk kesemua kenderaan baharu yang dijual bermula 1 Januari 2019.

Pakej yang ditawarkan merangkumi waranti selama lima tahun dengan perbatuan tanpa had untuk pelanggan awam dan had perbatuan 160,000 km untuk kegunaan komersil.

Langkah ini diambil bagi memberi nilai yang lebih, keyakinan dan memupuk kesetiaan di kalangan pemilik Toyota. Tawaran tersebut untuk kesemua model yang dijual di Australia, dari Yaris hingga Hilux dan pelbagai jenis enjin sama ada petrol, diesel atau hibrid.

Lebih menarik apabila pemilik kenderaan baharu layak untuk menerima pulangan penuh jika kegagalan yang dihadapi membuatkan kenderaan mereka tidak boleh dipandu dalam tempoh 60 hari selepas dibawa pulang.

Jaminan pulangan balik wang 60 hari tersebut juga terpakai jika percubaan untuk membaiki kenderaan gagal.

Toyota dan pengedarnya akan menanggung kos tunda dan memberi pinjam kenderaan ganti jika kenderaan pemilik memerlukan pembaikan (dalam waranti) dan tidak boleh dipandu.

Malah Toyota akan menimbangkan tempoh waranti sehingga tujuh tahun untuk enjin dan transmisi jika kenderaan tersebut melalui jadual pemeriksaan berkala yang ditetapkan.

Waranti untuk bateri hibrid pula boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun tanpa had perbatuan melalui pemeriksaan tahunan hibrid yang merupakan sebahagian daripada servis 12 bulan normal untuk pemilikan lima tahun ke atas.

Jika pengedar atau Toyota mendapati komponen gagal akibat kesilapan pengeluaran, liputan waranti akan tetap diberikan walaupun tempoh Toyota Warranty Advantage sudah tamat.


Alat ganti tulen dan aksesori juga termasuk dalam waranti ini dengan sehingga lima tahun mengikut liputan waranti kenderaan asal.

Apabila membaca kesemua tawaran ini timbul pula persoalan, apakah ada udang sedang menyorok di sebalik batu?

Menurut Toyota, pakej servis berkala tidak mahal mana dan sangat berpatutan. Sebagai contoh kos servis setiap enam kali selama tiga tahun atau 60,000 km hanya berharga AUD 180 untuk Hilux petrol dan AUD 240 untuk Hilux diesel.

Servis Corolla Hybrid baharu pula ialah AUS 175 untuk setiap lima kali pertama selama lima tahun atau 75,000 km.

Hebat bukan? Adakah ini mimpi atau khayalan. Tidak sebab dah berapa kali siaran media asal ini dibaca.

BACA: TOYOTA CALDINA – TUNED BY JAI SPEEDHUNTER

BACA: PANDU UJI TOYOTA HARRIER 2.0T PREMIUM – LEGASI SUV JEPUN YANG CEMERLANG

Share this post

scroll to top