BuletinMotosikal

DORNA AKAN JUAL SEBAHAGIAN BESAR SAHAM DALAM MOTOGP

 

Dorna Sports yang beribu pejabat di Madrid, Sepanyol merupakan syarikat yang memegang hak penyiaran dan komersil bagi FIM Road Racing World Championship Grand Prix yang kita kenali dengan nama MotoGP.

Mereka jugalah yang membantu dari segi promosi dan mencorakkan MotoGP sehingga menjadi kian meriah saban tahun. Kalau tak, takkanlah perlumbaan MotoGP menjadi lebih meriah berbanding dengan F1. Kini, Dorna dilaporkan akan menjual sebahagian pegangan kepada beberapa pihak yang berminat.

CVC Capital Partners, bekas pemilik Formula Satu dikatakan antara sebahagian syarikat kewangan yang berminat dengan jualan ini yang dikatakan akan memberi peluang untuk menguasai MotoGP.

Syarikat ekuiti yang beribu pejabat di Luxembourg itu dikatakan sedang berunding untuk mendapatkan sebahagian saham Dorna yang memegang hak eksklusif penyiaran dan komersil MotoGP, sebuah perlumbaan motosikal yang setanding dengan F1.

Menurut beberapa sumber, langkah ini akan menjadikan CVC pemegang saham terbesar dan menandakan kembalinya mereka ke sukan yang pernah dikuasai mereka satu ketika dahulu.

CVC telah menjual pegangan mereka dalam syarikat Dorna kepada firma ekuti Bridgepoint dengan nilai €500 juta pada masa itu. Mengikut nilaian semasa perjanjian baru jualan ini akan mencecah kos yang melebihi €1 billion.

Menurut pakar kewangan yang terlibat dalam urusan jual beli seumpama ini, ia memang perniagaan yang bernilai tinggi dan mereka sanggup membayar kos yang tinggi untuk menguasai perlumbaan seperti MotoGP. Siapa tidak mahu kerana ia bakal memberikan keuntungan yang berlipat kai ganda.

CVC bakal berdepan dengan saingan sengit daripada bakal pembeli lain seperti Eurazeo dan syarikat seperti Groupe Bruxelles Lambert. 

BACA: INI CARA MOTOGP PASTIKAN PERSAINGAN TEAM KAYA DENGAN TEAM MISKIN SENTIASA KOMPETITIF

Tapi peluang CVC dikatakan lebih cerah kerana mereka mempunyai sejarah dengan MotoGP secara langsung. Dengan kata lain Dorna lebih berminat untuk menjual saham kepada mereka yang mempunyai minat yang sama dengan mereka.

Selain daripada Bridgepoint, sebahagian besar saham Dorna dimiliki oleh CPPIB (Canadian Pension Plan Investment Board). Cuma setakat ini belum ada kepastian sama ada saham yang ingin dijual adalah milik Bridgepoint ataupun CPPIB.

Dengan membeli saham tersebut, langkah ini akan membolehkan CVC kembali ke dunia sukan motor dengan pantas. Apatah lagi ia berlaku hanya 18 bulan selepas mereka menjual pegangan mereka dalam F1 dengan nilai melebihi USD8 billion.

Dorna pula telah menguasai MotoGP sejak tahun 1999 dan di bawah pimpinan CEO, Carmelo Ezpeleta, mereka telah menjana pendapatan yang sangat besar melalui tajaan, hak penyiaran televisyen dan pengiklanan. Ezpeleta juga dikatakan akan dikekalkan sebagai CEO walaupun selepas jualan diselesaikan.

Walaupun sumber-sumber rasmi syarikat-syarikat terbabit tidak mahu memberikan sebarang komen semestinya sedikit sebanyak pembaharuan akan diperkenalkan oleh pemilik baru. Walaupun kecil ia semestinya memberikan impak yang cukup besar kerana MotoGP mempunyai 300 juta penonton di seluruh dunia.

 

Google ads
Back to top button