Buletin

FATTAH AMIN DILANTIK SEBAGAI DUTA TOYOTA C-HR

UMW Toyota Motor baru-baru ini mengumumkan pelantikan Fattah Amin, seorang pelakon dan selebriti terkenal di Malaysia, sebagai duta SUV crossover kompak Toyota C-HR.

Ini merupakan lanjutan kerjasama di antara Fattah dan UMW Toyota Motor selepas penglibatannya dalam Toyota Gazoo Racing (TGR) musim pertama.

“Ramai yang pernah menyaksikan penampilan Fattah Amin dalam iklan Toyota C-HR semasa pelancarannya awal tahun ini. Melalui kerjasama terbaru sebagai duta,  kami ingin memanfaatkan pengaruhnya  dalam kalangan peminat dan masyarakat untuk meningkatkan kesedaran terhadap model ini serta jenama Toyota secara umumnya,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Saya sangat gembira untuk melanjutkan kerjasama dengan Toyota selepas terlibat dalam perlumbaan Vios Challenge musim pertama yang merupakan sebahagian daripada Festival Perlumbaan TGR tahun lalu.

“Pengalaman memandu Toyota Vios di litar perlumbaan memberikan saya sudut pandang baru terhadap kemampuan dinamik dan sporty kenderaan Toyota,” jelas Fattah.

Fattah menyifatkan CH-R sebagai sebuah SUV yang memiliki karekter, selain gemarkan penampilan serta gayanya yang sporty.

Sudah memandu C-HR selama sebulan, pelakon itu dan merasakan bahawa enjin 1.8 liter yang digunakan mampu memberikan saluran kuasa yang memadai untuk pemanduan yang lancar dan stabil. Tambahan pula, ruang kargo yang tersedia mencukupi untuk Fattah membawa apa saja barangan yang diperlukan.

Dijual pada harga RM150,000 (dengan SST, tanpa insurans, bagi pendaftaran persendirian di Semenanjung Malaysia), C-HR menjadi antara model paling laris di Malaysia sejak dilancarkan pada Mac lalu.

C-HR dibina menggunakan platform baru dikenali sebagai Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mengubah struktur rekaan kenderaan dengan memberi keutamaan kepada sistem janaan dan menyediakan aspek pemanduan terbaik.

Ciri-ciri keselamatan yang ada termasuklah ABS dengan kawalan kestabilan kenderaan (VSC), kawalan cengkaman (TC), brek parkir elektrik serta kawalan bantuan mula mendaki (HAC).

Model ini juga hadir dengan banyal ciri lain seperti amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), sistem tinjauan titik buta (BSM) dan sistem pemantauan tekanan tayar.

Seperti kebanyakan model Toyota yang lain, C-HR menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Toyota kini menjalankan kempen “All About The Drive Bonanza” hingga 31 Disember 2018. Setiap pelanggan yang memandu uji mana-mana model Toyota di bilik pameran seluruh negara layak menerima hadiah cenderahati Toyota serta peluang untuk memenangi produk premium serta pakej percutian.

Pelanggan yang membeli kenderaan baru Toyota sebelum hujung tahun ini pula berpeluang memenangi MPV kompak Toyota Sienta (tertakluk kepada terma dan syarat).

Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut berkaitan C-HR dan promosi berterusan “All About The Drive Bonanza” di mana-mana cawangan sah Toyota seluruh Malaysia atau layari toyota.com.my.

Google ads
Back to top button