Buletin

FERRARI TINGKATKAN PRODUKSI – MAHU HASILKAN SUV JUGA, LAWAN URUS

Ferrari dilapor merancang untuk meningkatkan kapasiti pengeluarannya kerana sasaran jualan 9,000 unit setahun boleh dicapai setahun lebih awal berbanding jadual asal.

Pengeluar supercar dari Itali itu bakal menggandakan masa kerja kepada dua syif sehari mulai tahun 2018.

Peningkatan produksi itu merupakan sebahagian daripada pelan Ketua Pegawai Eksekutif Ferrari, Sergio Marchionne untuk menambah keuntungan operasi Ferrari kepada 2 bilion euro menjelang tahun 2022.

Tahun ini, Ferrari dijangka memperoleh keuntungan sebelum cukai sebanyak 1 bilion euro.

Bulan lalu, Ferrari menyemak semula sasaran keuntungan bagi tahun 2017 selepas pelancaran beberapa model edisi terhad termasuklah FXX K Evo.

Pelan itu turut merangkumi penambahan model, pada masa yang sama mengekalkan aspek eksklusivitinya. Salah satu produk yang dijangka dihasilkan oleh Ferrari ialah SUV dan pasti membantu meningkatkan jumlah jualannya.

Saham Ferrari dilapor melonjak dua kali ganda selepas disenarai di Bursa saham New York. Ia kini dinilai pada AS$20.1 bilion.

Google ads
Back to top button