Artikel PilihanBuletin

FIAT CHRYSLER UNTUK DIJUAL? FIRMA CHINA BERMINAT? FERRARI BAGAIMANA?

Dalam sejarah automotif dunia yang sudah melebihi seratus tahun kini, pelbagai model bisnes boleh kita pelajari. Gabungan atau pakatan seperti yang dilakukan oleh Zhejiang Geely Holdings Group (ZGH) bukanlah perkara baru.

Ia telah dipraktiskan lama dahulu. Ada yang berjaya dan kemudiannya berpecah. Contoh paling mudah ialah Mazda yang telah berada lama dengan Ford sebelum masing-masing membawa haluan sendiri.

Proton pun sebenarnya dikuasai dengan sejumlah saham oleh Mitsubishi Motors Corporation sebelum pegangan yang ada dijual.

Jika diambil contoh berjaya, ada tiga sifir yang jelas. Pertama ialah bagaimana Kumpulan VW menguasai jenama kereta dari segmen kebanyakan hinggalah kepada hiper mewah seperti Bugatti.

Contoh kedua ialah Toyota Motor Corporation. Syarikat itu terkenal sebagai jenama tunggal yang paling kuat merentasi pasaran sedunia. Dari pasaran negara bergolak, membangun hinggalah ke negara maju di mana sahaja ada Toyota.

Walaupun begitu, Toyota mempunyai syarikat-syarikat automotif di bawahnya yang tidak kurang hebat seperti Lexus dan Daihatsu. Itu tidak termasuk syarikat sekutu seperti Perodua, Subaru dan Mazda.

Model bisnes ketiga ialah seperti Honda dan Suzuki. Kedua-dua syarikat beroperasi dengan jenama tunggal di mana Honda paling menyerlah di serata dunia.

Honda sebenarnya lebih kepada syarikat kejuruteraan. Mereka mempunyai sekecil produk seperti robot pemotong rumput Miimo hinggalah kepada pesawat ringan bisnes HondaJet. Suzuki pula mempunyai asas pasaran yang kuat di India.

Selain daripada gergasi Eropah dan Jepun, Amerika Syarikat tidak kurang hebatnya. Mereka mempunyai Ford, General Motors dan Chrysler yang dikenali sebagai the big three.

Pada zaman kemelesatan ekonomi AS kira-kira sembilan tahun lalu, GM dan Chrysler mempunyai masalah dan memandangkan mereka ibarat tulang belakang ekonomi AS dengan ratusan ribu pekerja, Amerika Syarikat dan Kanada telah membuat keputusan memberi pinjaman berjumlah USD 80 bilion.

Eh, bukan Proton sahaja ke kena minta pinjaman dengan kerajaan?

Selepas itu, GM menubuhkan syarikat baharu dengan majoriti dimiliki oleh Perbendaharaan AS manakala Chrysler pula dimiliki oleh United Auto Workers (UAW) dengan kerajaan AS dan Kanada sebagai pemilik prinsipal.

Pada masa sama, ia turut dimiliki oleh Fiat S.p.A. dan selepas beberapa tahun, syarikat Itali tersebut meningkatkan pegangan dan akhir sekali membeli 41.5 peratus saham dari UAW menjadikan Chrysler sebagai subsidiari milik mereka sepenuhnya.

Maka pada penghujung 2014, tertubuhlah FCA iaitu Fiat Chrysler Automobiles hasil gabungan dengan Fiat S.p.A

FCA ini pula mempunyai dua subsidiari utama iaitu FCA Itali dan FCA AS. Gabungan itu menjadikan FCA sebagai di antara sepuluh pengeluar utama dunia dengan pengedaran 2015 sebanyak 4.6 juta unit.

Berikut ialah jenama automotif di bawah FCA:

FCA Itali

  • Abarth
  • Alfa Romeo
  • Fiat dan Fiat Profesional
  • Lancia
  • VM Motori – subsidiari pengeluar enjin

FCA AS

  • Chrysler
  • Dodge
  • Jeep
  • Ram
  • Mopar

FCA turut memiliki jenama mewah iaitu Maserati dan pengeluar komponen seperti Magneti Marelli dan Automotive Lighthing. Tetapi sebelum itu di mana letaknya Ferrari?

Syarikat itu sememangnya sejak sekian lama berada di bawah penguasaan Fiat namun pada awal Okboter 2015, Fiat telah mengapungkan 10 peratus saham Ferrari di bursa saham New York. Baki saham lain dibahagi kepada pemegang saham FCA dengan 10 peratus dimiliki oleh Piero Ferrari yang merupakan anak kepada Enzo Ferrari.

Maka tamatlah pegangan mutlak Fiat dalam Ferrari. Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ferrari walau bagaimanapun masih lagi Sergio Marchionne, iaitu CEO yang sama dalam FCA dan Maserati.

Kredit: CNH Industrial

Sergio Marchionne ini adalah seorang yang begitu penting dalam konglomerat automotif Itali. Secara ringkasnya, beliau adalah Pengerusi CNH Industrial. CNH pula dimiliki oleh Exor S.p.A (26.9 peratus) yang turut memiliki FCA (30.78 peratus) dan Ferrari (22.91 peratus).

Nampak berselirat dan saling berkait bukan?

Ini pula laporan yang diterbitkan oleh laman web Automotive News baru-baru ini.

Terdapat ura-ura mengatakan FCA mahu dipinang oleh firma dari China dengan tawaran harga yang sudah dikeluarkan. Namun tawaran itu ditolak susulan harga yang tidak bersesuaian.

Jadi bagaimana? On ke tak on ni?

Selang beberapa hari berita pertama dikeluarkan, Automotive News pada 18 Ogos telah mengeluarkan laporan susulan bahawa tiga firma China iaitu Geely Automotive Holdings, Dongfeng Motor Group dan Guangzhou Automobile Group menafikan mereka mahu membeli FCA.

Dan kebiasaannya dalam kes begini, bakal pembeli akan menafikan atau paling kurang, tidak membuat kenyataan bagi menjaga kepentingan masing-masing. 

Iya lah, apabila berita ini pertama kali dilaporkan di Automotive News, saham FCA di bursa pun turut meningkat.

Spekulasi atau sebaliknya kita tunggu saja.

Google ads
Back to top button