FIAT PANDA (MACAM PANDA) DAN MENANG ANUGERAH 4X4 2019

SHARE

Tahukah anda beruang panda asalnya dari China? Tahukah anda bagaimana pula panda boleh dijadikan nama sebuah model dari Itali iaitu Fiat Panda?

Tahukah anda Geely mempunyai sebuah model kereta bandar yang comel dan dinamakan sebagai Panda?

Menariknya Panda keluaran Geely lebih bersifat panda berbanding Fiat Panda yang berpuluh tahun lebih awal dihasilkan.

Fiat Panda generasi pertama diperkenalkan pada tahun 1980 dengan generasi ketiga diperkenalkan pada tahun 2011.

Panda adalah kereta rakyat dan dalam 37 tahun pengeluarannya lebih daripada 7.5 juta unit terjual di serata dunia.

4.5 juta daripada jumlah itu hanya untuk model generasi pertama sahaja. Panda generasi pertama adalah sebuah kereta bandar yang ringkas.

Ia direka oleh Giorgetto Giugiaro dari Italdesign yang sememangnya pakar dalam kereta bandar.

Khidmat Italdesign juga sering digunakan oleh pengeluar Jepun pada masa itu jadi tidak hairan kenapa kebanyakan kereta bandar mempunyai ciri serupa.

Berkotak, ringkas dan penggunaan ruang yang cekap. Guigiaro pernah memaklumkan bahawa Panda adalah ibarat sebuah seluar jeans. Ringkas dan praktikal.

Jadi kenapa tidak namakan Panda ini sebagai Jeans sahaja? Kami masih tidak faham sebenarnya kenapa haiwan dari China ini boleh digunakan pada sebuah kereta Itali.

Fiat Panda generasi ketiga hadir dengan satu varian unik iaitu Panda Cross. Hebatnya Panda Cross apabila dinobatkan sebagai 4×4 Tahun 2019 oleh Majalah 4×4.

Kenapa pula kereta bandar boleh menang anugerah 4×4? Apa sudah jadi pada 4×4 lain di pasaran?

Satu lagi perkara menarik apabila anugerah Crossover Terbaik ini kali kedua dimenangi Panda Cross selepas tahun lalu.

Para juri memuji Panda Cross untuk enjin yang lasak, tahap cengkaman dan keseronokan yang sentiasa mengukir senyuman puas dalam memandunya.

Majalah 4×4 adalah satu-satunya majalah 4×4 dan pikap di United Kingdom. Anugerah 4×4 tahunan telah dianjurkan lebih daripada 25 tahun.

Selain itu, Panda Cross adalah satu-satunya kereta bandar dilengkapi teknologi 4WD (di luar Jepun) dan kereta bandar pertama yang berjaya mencapai ketinggian 5,200m iaitu kem permulaan Everest.

Panda Cross juga adalah kereta bandar pertama menggunakan gas asli yang dikeluarkan pada skala besar.

Untuk meraikan pengiktirafan ini, Fiat melancarkan model istimewa Panda Waze 4×4.

Model ini dikuasakan enjin 0.9 liter Twinair 90 hp dengan pacuan 4×4 pada harga yang sama seperti Panda 1.2 liter 69 hp 2WD iaitu GBP 12,265 (RM 64,646).

Fiat Panda adalah kereta ekonomi di UK, harga memang rendah iaitu bermula dari GBP 9,965 (RM 52,521) untuk 1.2 69 hp Pop hingga GBP 16,465 (RM 86,787) untuk Panda Cross.

Alkisahnya, Fiat Panda pernah dijual di negara kita satu ketika dulu!

*1 GBP = 5.27 

BACA: FIAT SUPERMIRAFIORI 131 – BILA OLSKOOL JEPUN HILANG DARI RADAR

BACA: FIAT MULTIPLA DAN SEJARAHNYA

Share this post

scroll to top