FORD BANGUNKAN SISTEM AMARAN KEMALANGAN & AMBULANS DI BELAKANG

SHARE

Di dalam media sosial sudah biasa dipertontonkan tentang sikap pemandu yang mendominasi laluan kecemasan. Lebih parah apabila pemandu tidak memberikan laluan untuk ambulans mencelah dan segera ke lokasi kemalangan.

Entah apa difikirkan oleh pemandu sebegini tidak dapat dipastikan selain sikap pentingkan diri sendiri.

Satu kajian mendapati kadar survival mangsa kemalangan boleh ditingkatkan sehingga 40 peratus jika mereka dapat dirawat empat minit lebih awal.

Menyedari tentang kepentingan isu ini, Ford dengan kerjasama Vodafone ‘campur tangan’ bagi membangunkan satu sistem rangkaian dalam memberi amaran kepada pemandu apabila terdapat kemalangan di hadapan sejurus ia berlaku.

Lebih menarik apabila sistem ini turut berupaya dalam memberikan amaran awal apabila kenderaan kecemasan semakin hampir dan lorong mana yang patut diambil bagi mengelak daripada menghalang laluan.

Sistem tersebut direka bagi mewujudkan koridor kecemasan untuk laluan lori bomba, ambulans dan polis supaya segera tiba ke lokasi kemalangan.

Sistem ini adalah sebahagian daripada ujian KoMoD (Kooperative Mobilität im digitalen Testfeld Düsseldorf) iaitu projek bernilai € 15 juta untuk teknologi kereta berhubung dan pemanduan automasi.

Ford Focus baharu mempunyai fungsi eCall yang berupaya untuk membuat panggilan kecemasan secara automatik apabila terlibat dalam kemalangan. Pemandu juga boleh menekan butang SOS di dalam kereta untuk menggunakan secara manual.

Sekarang ini pula Ford dan Vodafone bekerjasama bagi membangunkan teknologi eCall Plus yang boleh memaklumkan pemandu lain tentang kemalangan di hadapan dengan jarak sehingga 500 meter.

Paparan dalam kereta pula boleh memaklumkan kepada pemandu lorong mana yang patut diambil bagi membina koridor kecemasan untuk laluan kenderaan kecemasan.

Walaupun nampak seperti remeh, teknologi seperti ini sangat penting terutama sekali apabila berhadapan dengan kesesakan jalan raya. Kadang kala pemandu tidak mengetahui dari arah mana siren berbunyi, sama ada dari laluan bertentang atau belakang.

Melalui teknologi ini pemandu tahu apa yang patut dibuat dan tidak gelabah apabila berdepan dengan situasi kecemasan.

Memang sakit hati dibuatnya apabila pemandu kereta kelam kabut tidak tahu untuk memberi laluan dan panik sementara ambulan bingit dengan siren di belakang.

Mohon teknologi ini diperkenalkan pada kenderaan masa dengan kadar segera!

BACA: FORD RANGER RAPTOR MASUKI PASARAN MALAYSIA AKHIR BULAN INI

BACA: SATU KETIKA DAHULU YAMAHA PERNAH MENGHASILKAN ENJIN UNTUK FORD DAN MENGGEGARKAN DUNIA AUTOMOTIF

Share this post

scroll to top