Buletin

FORD & DOMINO’S MULAKAN KAJIAN PENGHANTARAN PIZZA GUNA KERETA BERAUTONOMI

Domino’s dan Ford dilapor sudah memulakan penyelidikan fasa pertama mengenai penghantaran pizza menggunakan kenderaan tanpa pemandu.

Memberi fokus ke atas interaksi dan reaksi pengguna dengan teknologi baharu tersebut, ia merupakan kerjasama yang pertama seumpamanya dalam industry.

“Sebagai pakar penghantaran pizza, kami meneliti perkembangan kenderaan tanpa pemandu dengan penuh minat. Kami yakin industri pengangkutan kini melalui perubahan asas yang dramatik.

“Ini adalah langkah pertama dalam proses ujian yang kami ingin jalankan bersama Ford,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Domino’s, Patrick Doyle.  

Ford kini sedang rancak dalam membina kereta tanpa pemandu. Jadi, penyelidikan bersama Domino’s dilihat penting dalam memastikan teknologi dapat diaplikasikan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan.

Sepanjang beberapa minggu akan datang, para pelanggan Dominos’s yang dipilih secara rambang di Ann Arbor berpeluang menerima pizza masing-masing daripada sebuah kereta autonomi Ford Fusion Hybrid.

Pelanggan yang bersetuju untuk mengambil bahagian boleh memantau kenderaan itu melalui GPS menggunakan versi Domino’s Tracker yang telah ditambah baik.

Pelanggan juga akan menerima mesej teks apabila kereta tersebut semakin hampir serta arahan ringkas bagaimana untuk mengambil pizza menggunakan satu kod unik dan membuka kompartmen pemanasan Domino’s.

Ford dan Domino’s melakukan ujian awal penghantaran pizza itu di Mcity, satu persekitaran simulasi urban di kampus Universiti Michigan.

Merancang untuk memulakan produksi kenderaan berautonomi menjelang tahun 2021, Ford kini mengambil langkah untuk mereka satu bentuk perniagaan yang dapat memenuhi keperluan rakan perniagaan serta para pelanggannya.

Google ads
Back to top button