Buletin

FORD RANGER FACELIFT – BERMULA RM91,588!

Ford Motor Company dan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini melancarkan Ranger baharu yang lebih lasak, pintar dan efisien di Malaysia. Trak pikap itu akan berada di semua bilik pameran Ford di seluruh negara mulai esok.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (3)

“Berpegang kepada warisan ‘Built Ford Tough’, Ranger baharu menawarkan lebih kuasa dan kemampuan mengangkut beban. Ia juga merupakan satu-satunya trak pikap yang menampilkan pelbagai teknologi pintar dan keselamatan baharu,” kata Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, David Westerman.

Ranger facelift ini didatangkan dalam tiga varian iaitu XL, XLT dan Wildtrak. Harganya pula bermula daripada RM91,588 (XL), RM101,388 dan RM132,188 untuk model Wildtrak.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (4)

Trak pikap ini dikuasakan oleh enjin diesel generasi terkini 3.2 liter Duratorq lima silinder TDCi mampu menjana kuasa mencecah 200PS dan tork setinggi 470Nm.

Sementara enjin diesel 2.2 liter Duratorq empat silinder TDCi pula berkuasa 160PS tork 385Nm. Ia berupaya menawarkan penjimatan bahan api sehingga 12 peratus. Enjin-enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam kelajuan.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (1)

Transfer case yang dikawal secara elektronik membolehkan pemandu Ranger varian 4×4 menukar daripada pacuan 4×2 kepada 4×4 ketika kenderaan masih bergerak dengan hanya memutar satu tombol pada konsol tengah.

Kekuatan di laluan off-road ini dipadankan dengan keupayaan menunda sehingga 3,500kg serta kapasiti mengangkut beban yang luar biasa mencecah 1,200kg.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (13)

Varian berprestasi tinggi Wildtrak menampilkan sistem ketersambungan di dalam kereta generasi terkini Ford, SYNC 2 yang terdiri daripada satu skrin sentuh berwarna bersaiz lapan inci (4.2 inci untuk varian XLT) untuk mengawal telefon, hiburan dan suhu dengan menggunakan sistem arahan suara yang mudah.

Satu lagi ciri yang pertama dalam segmennya ialah sistem MyKey Ford. Sistem ini membolehkan pelbagai ciri diprogramkan seperti menetapkan had kelajuan maksimum, amaran memakai tali pinggang keledar dan volum maksimum untuk sistem audio.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (4)

Harus tahu juga bahwa Ranger baharu merupakan satu-satunya trak pikap di Malaysia yang dilengkapi alat pengesan parkir di bahagian hadapan dan belakang. Ia turut menampilkan ciri Front dan Rear Park Assist serta kamera mengundur yang memberikan pandangan lebih jelas.

Kerangka Ranger yang telah diperkukuhkan disokong dengan perlindungan daripada beg udara hadapan untuk pemandu dan penumpang pada semua varian. Sementara varian Wildtrak dan XLT pula dipasang dengan enam beg udara termasuklah beg udara sisi dan curtain.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (8)

Ranger juga dilengkapi Forward Alert, satu sistem bantuan pemandu pintar yang memberikan mereka amaran visual dan bunyi sekiranya ia berada terlalu hampir dengan kenderaan di hadapannya.

Sebagai tambahan, varian Wildtrak dipasang dengan Adaptive Cruise Control, ciri yang menggunakan alat pengesan radar untuk mengesan trafik di hadapan dan mengubah suai kelajuan kawalan jelajah secara automatik bagi mengekalkan jarak yang selamat.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (5)

Ciri ini dilengkapkan lagi dengan sistem Lane Keeping Aid yang menggunakan kamera pada cermin pandang belakang. Ia akan membaca tanda jalan dan mengesan jika pemandu keluar daripada garisan secara tidak sengaja.

Electronic Stability Control (ESC) dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX hadir sebagai ciri standard. Sekali gus menjadikan Ranger satu-satunya trak pikap di Malaysia yang menawarkan dua ciri keselamatan penting ini pada semua variannya.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (9)

Penampilan Ranger nyata moden dan berani. Rekaan hud yang lebih maskular bergabung dengan gril berbentuk trapezoidal yang nampak begitu mantap. Manakala lampu utama jenis projektor membolehkan trak pikap ini dapat dikenali secara serta-merta menerusi rupanya yang garang dan teknikal.

Mulai sekarang hingga 11 Oktober, para pelanggan boleh mengetahui sendiri kemampuan Ford Ranger menerusi acara ‘Tough Done Smarter Experiential Test Drive’.

Ford-Ranger-facelift-2015-mekanika (8)

Acara ‘itu akan diadakan di kawasan luar Central Park Avenue (pintu masuk utama di Ground Floor) pusat membeli-belah 1Utama. Tidak perlu menempah terlebih dahulu. Masuk adalah percuma.

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.ford.com.my.

 

Google ads
Back to top button