GEELY BELI SAHAM VOLVO TRUCKS RM13.4 BILION

SHARE

Geely Holding yang merupakan pemilik Volvo Cars dilapor telah membeli 8.2 peratus saham Volvo Trucks (AB Volvo) pada harga pasaran AS$3.3 bilion (RM13.4 bilion).   

Pengurus dana aktivis terbesar Eropah, Cevian Capital bersetuju untuk menjual semua 8.2 peratus pegangan saham dan 15.6 peratus hak mengundi dalam AB Volvo. AB Volvo ialah pengeluar trak, bas, peralatan pembinaan, enjin diesel, marin dan industri terkemuka Sweden.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani tersebut, Geely akan menjadi pemegang saham terbesar AB Volvo.

Pengalaman Geely dalam pembangunan kenderaan elektrik dan berautonomi mampu membantu Volvo Trucks untuk terus berkembang.  Geely juga memiliki 45 peratus Dongfeng Commercial Vehicles, salah sebuah syarikat trak terbesar di China.  

Pelaburan strategik itu dilihat sebagai lanjutan kepada pemerolehan Volvo Car Group daripada Ford Motor Company pada tahun 2010. Geely menjadi pemilik PROTON Holdings Berhad, Lotus Advance Technologies, London Electric Vehicle  Company (LEVC) dan syarikat kereta terbang Terrafugia Inc.

“Dengan pengalaman yang ditimba dengan Volvo Car Group, kami telah mengenal pasti nilai, sejarah, budaya, kemajuan teknologi serta kemampuan AB Volvo,” kata Pengerusi Geely Holding, Li Shufu.  

Geely turut mengesahkan bahawa ia tiada perancangan untuk menyatukan Volvo Cars dan Volvo Trucks sejak kedua-dua dipisahkan sejak tahun 1999.

Share this post

scroll to top