GEELY BIN YUE – CROSSOVER SEGMEN B UNTUK MALAYSIA SELEPAS PROTON X70?

SHARE

Selepas beberapa kali gambarnya dibocorkan di internet, Geely akhirnya melancarkan SUV Bin Yue ke pasaran China.

Menjadi model crossover pertama Geely, Bin Yue memang sangat menarik dengan gril cosmos yang diapit oleh lampu utama LED nipis. Bahagian bawah pula dipasang dengan sepasang ccorong pengambilan udara bersama kemasan berwarna perak.

Penampilan sporty Bin Yue diserlahkan lagi menerusi kemasan berwarna hitam pada arca roda, skirting sisi, bampar hadapan dan belakang, serta spoiler belakang.

Elemen sporty itu diteruskan ke ruang kabin. Menurut Geely, ruang tersebut direka bersama komponen yang berinspirasikan kepada jet pejuang dan Star Wars. Apa pun, bahagian dalaman Bin Yue memang nampak cukup kemas dan futuristik, sesuai dengan selera pengguna semasa.

Papan pemuka dihuni oleh sistem infotainmen dengan paparan bersaiz 10.25 inci. Antara teknologi yang disertakan sekali ialah arahan suara dan ketersambungan 4G dan wifi.

Tidak jauh berbeza dengan SUV lebih besar iaitu BoYue, Bin Rue hadir bersama tempat duduk dan stereng dibalut kulit. Selain kemasan besi matte dan krom yang kontras secara harmoni dengan keseluruhan kabin yang berwarna hitam itu.

Geely menawarkan dua pilihan enjin untuk pembeli Bin Rue. Enjin turbo 1.5 liter yang dibangunkan bersama dengan Volvo mampu menghasilkan kuasa 174hp dan tork 255Nm.

Dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan automatik, rangkaian kuasa itu membolehkan Bin Rue memecut dari 0-100km/j dalam masa cuma 7.9 saat. Penggunaan bahan api pula ialah sekitar 6.1l/100km.

Pelanggan juga boleh memilih enjin 1.0 liter turbo berkuasa 136PS dan tork 205Nm. Dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuaan, ia menawarkan penjimatan minyak mencecah 5.3l/100km.

Harus tahu bahawa crossover yang dibangunkan di atas platform modular BMA baharu itu dilengkapi sistem pemanduan semi autonomi Level 2. Ia  menggunakan radar gelombang milimeter dan kamera berdefinisi tinggi.

Dengan teknologi ini, Bin Rue mampu mengikuti kenderaan di hadapan sehingga kelajuan 150km/j dan menukar laluan secara automatik.

Bukan itu sahaja, Bin Rue turut dipasang sistem parkir automatik, brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalanan kaki dan sistem amaran titik buta.      

Pengguna di China sudah boleh membeli Bin Yue mulai 1 November lalu. Geely dilaporkan akan melancarkan model tersebut ke pasaran global secara berperingkat-peringkat.

Adakah Malaysia juga akan menerima model ini? Sama-sama kita nantikan.

GALERI

Share this post

scroll to top