Buletin

HONDA CIVIC i-DTEC KINI HADIR DENGAN TRANSMISI AUTO 9 KELAJUAN – PENJIMATAN 4.4L/100KM

Honda Civic dengan enjin diesel i-DTEC 1.6 liter kini ditawarkan dengan kotak gear automatik 9 kelajuan untuk pasaran United Kingdom.

Kombinasi rangkaian kuasa itu menjanjikan kuasa mencecah 120PS dan tork 300Nm pada 2,000rpm. Ia juga mampu mencatat kelajuan 0-100km/j dalam masa 11 saat dengan pecutan maksimum 200km/j.

Dari segi penggunaan bahan api, ia menjanjikan penjimatan minyak sehingga 3.41 liter bagi setiap 100km. Peh… jimat macam hibrid dah ni.

Ditawarkan pada varian sedan dan hatchback lima pintu, ini merupakan kali pertama Civic menerima rangkaian kuasa tersebut.

Dengan nisbah gear yang besar, transmisi 9 kelajuan itu menawarkan pergerakan yang lancar apabila mula bergerak. Manakala nisbah gear ke-9 pula memastikan enjin pada kelajuan rendah sewaktu meluncur bagi menjimatkan bahan api dan bunyi lebih senyap.

Bergantung kepada kelajuan enjin dan tekanan pada pendikit, transmisi itu boleh ‘melangkah’ gear untuk maklum balas lebih pantas. Misalnya gear diturunkan daripada 9 ke 5 atau 7 ke 4.

Enjin diesel i-DTEC 1.6 liter baharu itu tampil dengan omboh besi tempa untuk mengurangkan geseran dan tahan lebih lama. Pengecas turbo yang telah ditambah baik pula didatangkan dengan reka bentuk nozel boleh ubah yang sangat efisien.

Kitarannya dikawal dengan tepat oleh sistem elektronik kereta, mengurangkan turbo lag dan menawarkan prestasi terbaik.

Civic hatchback lima pintu dipasang di kilang Honda di Swindon UK. Sementara sedan empat pintu pula terus dibina di kemudahan Hond di Tukrki untuk pasaran Eropah.

Google ads
Back to top button