Buletin

HONDA DASH 125 – BERMULA RM5,999 SEUNIT, SASAR JUALAN 3,500 SEBULAN

Boon Siew Honda hari ini memperkenalkan model terkininya, Dash 125 ke pasaran tempatan.  Jentera 125cc baharu dilihat ideal untuk penunggang yang mahukan sebuah motosikal dengan pakej lengkap.

“Kaji selidik pasaran kami menunjukkan bahawa terdapat peningkatan trend terhadap motosikal yang mempunyai ciri dan prestasi lebih baik.

“Mengikuti trend terkini itu, kami sangat teruja untuk memperkenalkan Dash 125 baharu yang dijangka menetapkan penanda aras lebih tinggi dalam segmen cub,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda.

Bakal berada di semua pengedar Boon Siew Honda di seluruh negara menjelang hujung minggu ini, Dash 125 baharu menerima beberapa naik taraf berbanding Dash 110 yang diperkenalkan 7 tahun lalu.

Ia kini dilengkapi enjin 125cc yang dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Enjin itu mampu menjana kuasa mencecah 7.35kW dan tork 9.54Nm pada 6,500rpm.

Dash 125 dipasang dengan lampu utama LED bagi memberikan iluminasi lebih baik dan keselamatan kepada penunggang ketika menunggang.

Bagi menjadikan penampilannya lebih agresif, Dash 125 dilengkapi dengan pelindung kaki, kemasan pada rim sporty, reka bentuk cermin dan speedometer baru. 

Kapcai itu juga didatangkan dengan rekaan luaran lebih kontemporari dengan empat pilihan warna – hitam mutiara, merah, dan Repsol Edition.

Dash 125 hadir bersama jaminan kilang selama dua tahun atau perbatuan sejauh 20,000km (mana-mana tiba dahulu) bagi memastikan pelangan dapat menikmati servis dan kemudahan yang berkualiti tinggi.

Rakyat Malaysia bakal menyaksikan prestasi mengujakan Dash 125 kerana ia akan menjadi jentera lumba terkini dalam acara Honda One-Make Race untuk saingan Cub Prix Malaysia.

Dikenali sebelum ini sebagai “Honda Wave Alpha Challenge” untuk model Honda Wave Alpha, nama perlumbaan itu akan dikenali sebagai “Honda Dash 125 Challenge”, selari dengan penukaran kepada model ini.

Perlumbaan satu model (One-Make Race) terbukti menjadi satu platform ideal untuk penunggang muda berbakat mengambil langkah pertama sebelum masuk ke dalam dunia sukan bermotor.

Selain mendapat bimbingan dan sokongan yang mereka perlukan sebelum menjadi juara di peringkat antarabangsa.

Boon Siew Honda turut mengumumkan pelantikan juara dua kali Asia Road Racing Championship (ARRC), Zaqhwan Zaidi sebagai duta Dash 125 baharu. Penunggang terkenal Honda itu merupakan pelumba Malaysia pertama yang berjaya berlumba dalam Kejohanan Perlumbaan Jalanan Seluruh Jepun.

Kesungguhan dan perjalanan kerjaya selaku pelumba motosikal nyata memberi inspirasi kepada anak muda untuk mencapai impian masing-masing

Maklumat lanjut, sila layari laman web www.boonsiewhonda.com.my atau hubungi Boon Siew Honda di talian Tol Percuma 1800-88-3993 (Isnin hingga Jumaat, 9am – 5pm, kecuali cuti umum).

GALERI

Google ads
Back to top button