Buletin

HYUNDAI DEDAH FOTO RASMI SANTA FE 2019 – SEMAKIN MEWAH DAN CANGGIH

Hyundai Motor hari ini mendedahkan imej rasmi pertama SUV Santa Fe generasi keempat sempena premiere dunia pada bulan ini.

Penampilan Santa Fe diserlahkan menerusi penggunaan gril besar yang diapit oleh sepasang lampu utama nipis. Rekaan luaran yang nampak atletik itu mengukuhkan lagi statusnya selaku SUV penting dalam rangkaian model Hyundai.

Sekali pandang, rekaan baharu itu dipengaruhi oleh model-model terbaharu Hyundai sepertu Kona dan Nexo. Santa Fe ini lebih besar dengan dimensi 4,770mm panjang, lebar 1,890mm dan mempunyai tapak roda lebih panjang.

Di ruang kabin, kemewahannya jelas dirasai apabila hadir dengan konsol tengah yang telah direka semula dan sistem infotaimen ‘terapung’. Hyundai juga mendakwa ruang kabin Santa Fe kini lebih luas dan premium berbanding pesaingnya. 

SUV itu kini dilengkapi pelbagai ciri ketersambungan, pengecas telefon pintar tanpa wayar, Apple CarPlay, MirrorLink dan pengecaman suara.

Di Korea Selatan, Santa Fe ditawarkan dalam tiga pilihan enjin iaitu 2.0 liter petrol, serta dua enjin diesel bersesaran 2.0 dan 2.2 liter. Harganya pula bermula AS$26,512 (RM103,600) sehingga AS$33,760 (RM132,000) seunit.

Sebagai sebahagian daripada teknologi SmartSense, Santa Fe menawarkan rangkaian sistem keselamatan aktif terkini. Antaranya ialah Rear Cross-Traffic Collision-Avoidance Assist yang menjadi ciri pertama dipasang pada Hyundai. Tidak ketinggalan ialah ciri Safety Exit Assist dan banyak lagi.   

Google ads
Back to top button