Buletin

INI BIJAK – ROBERT DE NIRO JADI DUTA UNTUK KIA e-NIRO

Tahukah anda kumpulan Hyundai-Kia mempunyai aturan nama model yang menarik. Hyundai gemarkan nama tempat seperti Santa Fe, Veracruz dan Tucson manakala Kia pula cenderung kepada nama positif dan unik seperti Optima, Stinger, Ray dan Soul. 

Kia juga mempunyai kempen unik contohnya promosi Soul menggunakan hamster yang berjaya menarik minat pengguna di Amerika Syarikat.

Mereka yang berada di sebalik kempen pemasaran Kia nampaknya sekali lagi membuat hal dalam mempromosikan model crossover elektrik baharu iaitu e-Niro.

Siapakah yang dilantik untuk menjadi duta model ini?

Pelakon Amerika Syarikat terkenal iaitu Robert De Niro.

Tugas De Niro bukan hanya bergambar sahaja tetapi turut bertanggungjawab dalam mengenengahkan keupayaan e-Niro bagi menghapuskan stigma terhadap pemilikan kenderaan elektrik.

De Niro akan tampil di dalam siri televisyen, media cetak dan pengiklanan digital.

Walaupun De Niro terkenal sebagai mafia dalam filem Godfather, beliau juga sebenarnya sering membawa watak humor terutama sekali kebelakangan ini.

Melalui karakter yang suka berjenaka De Niro akan menarik perhatian terhadap kelebihan e-Niro seperti jarak pemanduan sejauh 484 km, sistem maklumat hibur (infotainment) teknologi tinggi, teknologi penjanaan tenaga dan reka bentuk unik.

Kia e-Niro pertama kali dipertontonkan pada Pameran Kenderaan Eropah 2018 dan akan menemui pelanggan pada penghujung tahun ini.

Jarak pemanduan e-Niro sejauh 484 km memang menggagumkan dan mempamerkan kemajuan teknologi syarikat Korea Selatan ini. Crossover elektrik ini dilengkapi bateri berkapasiti tinggi lithium-ion 64 kWh atau pek tenaga 39.2 kWh yang mampu menggerakkan e-Niro sejauh 312 km dengan cas penuh.

Dengan pengecas pantas 100 kW hanya 54 minit diperlukan untuk mengecas 80 peratus tenaga bateri 64 kWh.

Selain bijak mengatur kempen pemasaran, Kia terlebih dahulu bijak dalam strategi perniagaan. e-Niro adalah siri model terbaru dalam famili Niro yang menyertai Niro Hybrid dan Plug-in Hybrid.

Kedua-dua model itu telah pun terjual lebih daripada 200,000 unit di peringkat global sejak pengenalannya pada tahun 2016.

Untuk meyakinkan pengguna, Kia turut tampil dengan program selepas jualan yang hebat. Kia e-Niro didatangkan dengan waranti tujuh tahun atau 160,000 km. Waranti tersebut turut merangkumi pek bateri dan motor elektrik.

Buat pengguna tempatan, kempen ini sebenarnya mengimbas kembali slogan motosikal SYM satu masa dahulu – Safee Yang Menunggang! dan Syamsul Yang Mencelah!

BACA: HYUNDAI i30 FASTBACK N – 2 PILIHAN OUTPUT ENJIN TURBO, 250PS & 275PS

BACA: HYUNDAI ‘N OPTION’ – HYUNDAI DAH MULA BERMAIN AKSESORI ALA JENAMA JEPUN

Google ads
Back to top button