Artikel PilihanBuletin

INI EVOLUSI GEAR DARI TAHUN 1950 HINGGA SEKARANG (REAL MAN USE 3 PEDALS?)

Perdebatan teknologi kotak gear pilihan memang tidak akan habis. Ada yang kata lelaki sejati guna tiga pedal (manual), ada pula yang hujah lelaki budiman guna dua pedal (automatik).

Jadi yang mana menang? Susah juga hendak buat keputusan. Walaupun transmisi manual dikatakan hampir pupus, tapi masih ada yang memerlukan dan gemarkannya seperti di Asia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Satu perkara yang dirungutkan tentang transmisi manual ialah tenaga yang diperlukan lebih berbanding automatik. Tetapi cuba tekan klac Honda Civic Type R baharu, alahai lembutnya.

Transmisi yang canggih seperti klac berkembar pula walaupun sedap dan pantas tetapi mempunyai kos penyelenggaraan tinggi dan mahal berbanding manual, automatik atau CVT.

Perdebatan memang tidak habis. Sebelum isu ini menjadi meleret-leret, apa kata kita soroti era transmisi dari tahun 50an hingga sekarang. Data ini dikumpulkan oleh SEAT, pengeluar kereta dari Sepanyol.

SEAT 1400

1950: Pada era ini, gear terletak pada stereng. Bukan picit jenis tiptronik atau CVT, ini jenis batang gear bersambung kepada batang stereng, macam lori atau pikap lama.

Menurut orang lama iaitu Isidre López yang bertanggungjawab tentang koleksi kereta vintaj SEAT, gear jenis ini digunakan pada SEAT 1400. Posisinya memang tidak selesa untuk sesetengah pemandu tetapi paling penting, tiga orang boleh duduk di depan.

SEAT 600

1960: Pada dekad ini gear berada macam sekarang iaitu di tengah atau konsol di antara pemandu dan penumpang sebelah. Menurut Isidre López, gear jenis ini digunakan pada SEAT 600, ringkas sahaja, hanya batang gear dan tombol macam bola.

Gear pula ada empat dan supaya pemandu tak terlebih rpm, tanda merah diletakkan supaya pemandu tahu bila gear perlu ditukar.

1970: Pada era ini evolusi semakin canggih dengan reka bentuk lebih ergonomik dan gear ditambah supaya untuk respon enjin lebih baik semasa memandu. 124 Sport 1600 adalah model pertama SEAT dengan lima gear.

Model sedan paling popular dalam golongan menengah, batang gear bersambung terus pada kotak gear dan buat pertama kali menjadikan kereta lebih cepat dan efektik dalam penukaran gear, kongsi Isidre López.

SEAT 124

1980: Dekad dengan kesinambungan ergonomik dan keselesaan. Pada masa ini beberapa model sudah dilengkapi stereng berkuasa dan material baharu supaya tukaran gear lebih fleksibel.

Menurut Isidre López, SEAT Ibiza generasi pertama adalah ikon pada masa itu, tuil gear lebih elok dan strukturnya dinaikkan supaya lebih serasi dengan tangan pemandu.

1990 hingga sekarang: Inilah era di mana transmisi enam kelajuan muncul dan transmisi automatik semakin popular.

Disebabkan perubahan teknologi, pemandu mengucapkan selamat tinggal pada klac dan satu lagi fakta ialah, tiada lagi kereta yang mati enjin dan mengundur ke belakang bila berada pada kedudukan curam. 

Menurut Isidre López, model baharu seperti SEAT Tarraco menggunakan klac berkembar DSG (SEAT ahli kumpulan VW) yang menggabungkan ciri keselesaan automatik tapi dengan rasa seperti transmisi manual.

SEAT TARACO

Kenderaan sekarang memang canggih ditambah pula dengan teknologi bantuan pemanduan seperti Kawalan Jelajah Bersesuaian (Adaptive).

Dengan sistem ini pemandu tidak perlu gunakan brek untuk perlahankan kenderaan, tetapkan sistem dan kereta akan bergerak mengikut kelajuan kenderaan hadapan.

Jadi sekarang bagaimana? Okaylah transmisi automatik menang tetapi rasanya sedap juga ada sebuah kereta manual di rumah. Mana sama rasa turunkan gear manual sebelum selekoh dengan transmisi automatik,kan?

BACA: TAHUKAH ANDA KOTAK GEAR DSG VOLKSWAGEN SUDAH BERUSIA 15 TAHUN?

BACA: INI HONDA HR-V VTEC TURBO SIAP DENGAN GEAR MANUAL 6 KELAJUAN!

Google ads
Back to top button