INI HONDA HR-V VTEC TURBO SIAP DENGAN GEAR MANUAL 6 KELAJUAN!

SHARE

Tiga tahun kebelakangan ini adalah zaman kegemilangan Honda di pasaran tempatan, banyak model yang dijual mendapat sambutan hangat.

Cuba perhatikan kereta-kereta yang diparkir di kawasan kediaman, pejabat atau pusat membeli-belah. Berselang seli di antara Honda City, Civic, HR-V, Jazz dan BR-V.

Bukan setakat model kebanyakan malah CR-V yang harganya tinggi pun begitu mudah untuk ditemui di atas jalan raya. Maklumlah sasaran Honda Malaysia untuk dua tahun ini sudah melebihi angka 100,000 unit.

Mitsubishi YE-Triton-Mrec-Desktop

Kejayaan Honda dibantu oleh model-model hits di pasaran tempatan dan juga peringkat global. Di antara model kegemaran ramai ialah Honda HR-V.

Selain itu Honda juga begitu agresif dalam memperkenalkan inovasi yang diperbaharui seperti enjin berkuasa turbo dan teknologi canggih bantuan pemanduan Honda Sensing.

Enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang terkenal itu sekarang ditawarkan dalam SUV kompak HR-V Sport di pasaran Eropah.

Honda HR-V Sport adalah varian baharu untuk model 2019 dan bukan sahaja dilengkapi enjin baharu malah casis dan suspensi turut dinaik taraf.

Enjin 1.5 VTEC Turbo yang dimuatkan pada HR-V ini adalah unit sama seperti Civic generasi kesepuluh. Ia mempunyai kuasa 182 PS pada 5,500 rpm dan 6,000 rpm.

Kenapa ada dua puncak kuasa?

Angka 5,500 rpm itu untuk transmisi manual enam kelajuan. Pasti menggiurkan bukan tarikan kuasa enjin untuk transmisi manual.

Versi manual tersebut mempunyai kuasa tork 240 Nm dari 1,900 rpm dan 5,000 rpm manakala transmisi CVT pula pada angka 220 Nm dari 1,700 rpm hingga 5,500 rpm.

Honda sengaja membangunkan HR-V Sport untuk pelanggan yang mahukan pemanduan sporti. Varian ini telah menaik taraf ketegaran badan, suspensi dan stereng.

Teknologi suspensi yang digunakan dipanggil Performance Damper. Sistem tersebut menghubungkan bahagian depan dan belakang kereta dan bertindak balas dalam pergerakan atau olengan casis.

Ia menjadikan kereta stabil sewaktu mengambil selekoh dan penukaran laluan secara mengejut serta mengurangkan gegaran semasa melalui jalan tidak rata.

Selain itu stereng diubah eksklusif untuk model ini sahaja. Ia menggunakan sistem rack and pinion yang dibantu oleh nisbah boleh ubah berkuasa elektrik dan gabungan teknologi Agile Handling Assist Honda.

Sistem ini berupaya mengekalkan kestabilan stereng pada darjah tengah dan hampir tengah dan memberikan respn lebih lancar pada sudut lain stereng.

Bayangkan di mana stereng kekal stabil sewaktu kereta meluncur laju di jalan lurus tanpa pemandu perlu membetulkan semula darjah kedudukan stereng.

Bahagian luar turut diubah dengan tema Solid Wing Face iaitu bahagian panel krom gelap digantikan dengan warna krom hitam berkilat.

Gril pula mempunyai corak eksklusif iaitu berbentuk sarang lebah berwarna hitam dan sama pada bahagian keliling lampu kabus.

Turut baharu ialah splitter tipis, skirt sisi, arka roda dan bamper belakang lebih agresif serta roda aloi 19 inci. Selain itu enjin dilengkapi dengan dua paip ekzos sama seperti Civic Turbo.

Supaya setanding dengan model baharu lain, HR-V Sport menggunakan lampu LED sepenuhnya pada bahagian depan termasuk DRL. Lampu belakang pula lebih gelap berbanding varian lain.

Bahagian interior nampaknya lebih mewah dan eksklusif dengan penggunaan warna hitam dan merah gelap. Pelanggan di UK sudah boleh menempah varian baharu ini bermula bulan Disember dengan penghantaran pada tahun depan.

Bagaimana pula dengan pelanggan tempatan? Untuk mereka yang mahukan unit lebih eksklusif Honda turut menawarkan sesuatu yang istimewa berbanding varian lain iaitu HR-V RS yang dengarnya mendapat sambutan hangat.

BACA: HONDA CIVIC FD CONVERT TYPE-R. MAHAL TAPI BERBALOI!

BACA: ADAKAH BEGINI RUPANYA MODEL GANTIAN HONDA JAZZ 2019?

Share this post

scroll to top