INI RARE, NISSAN GT-R DIKAWAL GUNA REMOTE CONTROL PS4

(c) Nissan

SHARE

Nissan mendapat banyak faedah daripada penjualan GT-R. Walaupun berada dalam pasaran niche dan tidak dijual di banyak negara secara rasmi model itu masih berjaya dalam menaikkan nama Nissan di mata penggemar kenderaan berprestasi. Yang tidak mengetahui asal-usul GT-R pun boleh tangkap minat.

GT-R sudah mencapai tahap kereta idaman dan boleh dikatakan sebaris dengan kereta berprestasi lain dari Eropah atau Amerika Syarikat.

Banyak sebab GT-R begitu digemari, di antaranya ialah kempen penjenamaan yang sentiasa dilakukan Nissan sama ada dalam kempen pemasaran atau sukan permotoran. Ia bermula dari permainan video hinggalah ke litar lumba atau dikaitkan dengan personaliti sukan seperti Usain Bolt.

Ini pula projek yang agak pelik iaitu memandu GT-R dalam trek menggunakan alat kawalan jauh.

Ia sebenarnya adalah sempena pelancaran permainan konsol Gran Turismo Sport dan juga meraikan ulangtahun ke-20 penglibatan Nissan dalam siri permainan Gran Turismo. Edisi baharu permainan ini bakal dilancarkan di beberapa pasaran utama dunia bermula 17 Oktober ini.

GT-R yang digunakan ini telah diubahsuai suai dengan ekstensif supaya ia boleh dikawal sepenuhnya dengan alat kawalan DualShock®4. GT-R/C ini dipandu secara jauh ialah siapa lagi kalau bukan pemenang GT Academy dan pelumba NISMO iaitu Jann Mardenborough. 

Beliau memandu GT-R/C di liar Silverstone dari kokpit helikopter dan berjaya mencatatkan masa terpantas 1:17:47 dengan kelajuan purata 122 km/j dan kelajuan maksimum 211 km/j.

Berikut ialah modifikasi pada Nissan GT-R/C:

  • Dilengkapi empat robot bagi mengawal stereng, transmisi, brek dan pedal minyak
  • Enam komputer dipasangkan di belakang kereta yang mampu mengawal sehingga seratus kali sesaat
  • Alat kawalan DualShock®4 digunakan tanpa sebarang modifikasi. Ia disambungkan dengan komputer mikro yang dapat menterjemahkan isyarat kayu bedik (joystick) dan butang seterusnya menghantarnya ke sistem komputer di kereta
  • Operasi tanpa wayar tersebut boleh berfungsi dalam jarak satu kilometer
  • Bagi membolehkan Mardenborough mengetahui kelajuan kereta, sensor Racelogic VBOX Motorsport digunakan bagi menghantar data kelajuan kepada paparan LCD di dalam kokpit helikopter
  • GT-R/C turut dilengkapi dua sistem keselamatan bebas yang berfungsi mengikut frekuensi radio berbeza. Ia membolehkan dua individu tambahan untuk menggunakan pembrekan ABS dan menghentikan kuasa enjin jika pemandu utama hilang kawalan
  • Kereta ini disediakan oleh JLB Design dari UK

Mardenborough sekarang ini berlumba sepenuh masa di Jepun dan pada minggu lalu bersaing dalam Kejohanan Super GT di Thailand. Beliau bermula di petak hadapan dan mencatatkan masa terpantas perlumbaan.

Selain itu, projek Nissan GT-R/C ini bukan projek sia-sia kerana bermula tahun depan, ia bakal digunakan dalam siri jelajah di sekolah rendah dan menengah di UK bagi mempromosi karier masa depan dalam subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

BACA: LIBERTY WALK TUKAR DAIHATSU COPEN JADI NISSAN GT-R

BACA: NISSAN GT-R R34 V-SPEC II Nür R-TUNE – RM1.03 JUTA, KASTA TINGGI SELEPAS GT-R NISMO Z-TUNE 

(Visited 775 times, 44 visits today)

Share this post

scroll to top