BuletinMotosikal

INILAH VINS DUECINQUANTA – PEWARIS KEHEBATAN ENJIN 2-LEJANG (+VIDEO)

Enjin dua-lejang sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri iaitu ia cukup ringan dan mampu menghasilkan lebih kuasa berbanding enjin 4-lejang moden. Tapi sayangnya ia juga akan kekal di lipatan sejarah sebagai kuat makan minyak, mesti selalu diselenggara dan menghasilkan asap yang melampau. Tapi itu semua kisah-kisah enjin 2-lejang terdahulu.

Kenalkan Vins Duecinquanta, motosikal terbaru yang diperkenalkan dengan enjin 2-lejang generasi baru. Ia bukan hanya cukup berkuasa dan mempunyai reka bentuk yang eksotik tapi ia juga mempunyai enjin 2-lejang baru dengan teknologi Transfer Port Injection (TPI) yang menjadikannya lebih bersih. Berapa bersih? Cukup bersih tuan-tuan kerana ia berjaya mencapai standard Euro 4. Perlu diingat bahawa enjin moden 4-lejang Yamaha Tenere sebelum ini gagal mencapai standard Euro 4 tau.

Sebelum ini pun teknologi enjin 2-lejang masih belum berkubur dan masih digunakan tetapi kebanyakannya adalah untuk kegunaan motosikal trail ataupun kegunaan offroad. Belum ada lagi yang mengeluarkannya dalam bentuk sportbike ataupun jentera lumba yang memang sangat memerlukan enjin berkuasa seperti ini.

Inilah satu-satunya motor bernadikan enjin 2-lejang yang berkuasa yang dihasilkan oleh para jurutera yang pernah terlibat dengan pasukan Formula 1 Scuderia Ferrari. “Duecinquanta” merupakan perkataan dalam bahasa Itali yang bermaksud 250 bertepatan dengan kapasiti motosikal ini iaitu 250cc.

Dari segi luaran, jika melihatnya dari sisi sedikit keanehan akan dikesan oleh peminat motosikal sejati. Mana kerangkanya? Apa jenis kerangka yang dipakai? Adakah ia steel trellis? Kerangka diamond ataupun aluminum twinspar seperti sportbike 250cc lain?

Semuanya salah kerana bahagian luarannya itu sendiri adalah kerangka motosikal. Enjinnya memang dilekatkan terus ke bahagian panel luar (fairing). Kenapa ia begitu kukuh? Jawapannya ialah kerana material paling mahal dan eksotik pernah digunakan pada sebuah motosikal iaitu gentian karbon. Hampir 80 peratus komponen yang membentuk badan motosikal ini dihasilkan daripada gentian karbon, sama seperti sebuah kereta Formula 1.

Hampir kesemua bahagian seperti rim, lengan ayun belakang, suspensi depan bahkan peredam bunyi ekzos semuanya dihasilkan daripada gentian karbon. Dengan kata lain ia mempunyai komponen karbon yang melebihi komponen gentian karbon pada jentera MotoGP 2017. Bagaimana dengan 20 peratus komponen lagi? Jangan bimbang kerana ia tidak kurang hebatnya kerana ia dihasilkan sama ada dari pada magnesium dan juga titanium. Ambik kau. Tak ada plastik PU murah-murah pada motosikal ini. Coverset orimotor main jauh-jauh.

BACA: SUZUKI KATANA 3.0 REKAAN FIRMA ITALI ENGINEERING (+VIDEO)

Itu baru bahagian komponen badannya belum sentuh lagi bab enjin dan kuasa. Ia merupakan enjin 2-lejang TPI V-Twin perlumbaan yang sebenar. Ia hampir menyamai enjin KTM EXC-TPI tetapi lebih maju lagi dengan keluaran kuasa yang mengkagumkan.

Vins Duecinquanta ini dibekalkan dengan dua jenis enjin untuk varian berbeza, Competizione (kegunaan litar sahaja) dan Strada (kegunaan di jalan raya). Varian Competizione berkapasiti 288cc dengan kuasa maksima 80 hp manakala varian Strada berkapasiti 249cc dengan kuasa yang sedikit rendah tetapi tidak menjejaskan keseronokkan memecut.

Kerana menggunakan gentian karbon sebagai bahan asas, motosikal ini sebenarnya cukup ringan. Varian Competizione mempunyai berat 85 kilogram manakala Strada hanya 95 kilogram. Ini sudah macam berat skuter Yamaha Ego. Disebabkan itulah motosikal ini mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang hampir menyamai prototaip MotoGP iaitu hampir 1 hp/kg!

Okey, adakah motosikal sehebat ini cuma sebuah model konsep? Tidak, kerana ia memang telah diproduksikan dengan harga 40,000 Euro untuk varian Strada dan 50,000 Euro untuk Competizione bersamaan dengan RM193,000 dan RM241,000 seunit. Haih, motor sehebat jentera MotoGP takkan la nak jual dengan harga motosikal 250cc biasa-biasa. Itupun harga di Itali, belum tambah cukai lagi kalau dibawa ke Malaysia.

Google ads
Back to top button