Buletin

INILAH WAJAH SUV PERTAMA PROTON – GEELY BOYUE BUAT PENAMPILAN SULUNG DI MALAYSIA

Sebagaimana yang digembar-gemburkan sebelum ini, kenderaan utiliti sukan (SUV), Geely Boyue akhirnya membuat debut pertama di Malaysia pada majlis menandatangani perjanjian di antara DRB-HICOM Berhad dan Zhejiang Geely Holding (ZGH) pagi tadi.

Jentera yang mendapat perhatian ramai itu muncul selepas sebulan DRB-HICOM mencapai persetujuan dengan ZGH bagi membolehkan syarikat dari China itu membeli sebanyak 49.9 peratus saham PROTON Holdings Berhad (Proton).

Geely Boyue dikatakan menjadi model pertama hasil kerjasama di antara kedua-dua belah pihak tersebut. Pemilihan Boyue dilhat tepat kerana Proton tidak mampunyai model SUB di bawah rangkaian produknya.

Kerjasama dalam menghasilkan model baharu bukanlah sesuatu yang asing buat Proton. Selain barisan model Mitsubishi pada tahun-tahun awal penubuhannya, Proton juga telah bekerjasama dengan Honda dan Suzuki untuk menghasilkan Proton Perdana dan Proton Ertiga.

Boyue sangat popular di China. Buktinya, tahun lalu Geely berjaya menjual sebanyak 109,000 unit pada tahun 2016. Pada tahun ini, angka itu nampaknya semakin meningkat apa mencatat jualan mencecah 103,000 sehingga Mei lalu.

Secara keseluruhannya, Geely telah menjual sekitar 760,000 unit kenderaan pada 2016. Sasaran pada tahun ini ialah sebanyak 1 juta unit kenderaan.

Di pasaran China, Boyue ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu inspirasi biasa (N/A) serta turbo. Enjin NA bersesaran 2.4 liter. Sementara dua enjin 1.8 liter turbo pula mampu menghasilkan kuasa 163hp serta 162hp.Kuasa itu kemudian disalurkan kepada transmisi manual enam kelajuan atau automatik klac berkembar.

SUV yang berukuran 4.5 meter panjang dengan lebar 1.8 meter dan tinggi 1.6 meter itu dilengkapi teknologi termaju.

Sempat melihatnya dari dekat, saya boleh katakan bahawa model yang direka oleh bekas pereka bentuk Volvo, Peter Honbury itu memang cantik. Malah binaannya juga cukup berkualiti.

Ruang kabinnya pula membuatkan anda seperti tidak percaya bahawa ini ialah model buatan China. Material yang digunakannya rasa dan nampak mewah.

Ketika ditanya bilakah SUV pertama Proton tersebut bakal berada di pasaran Malaysia, Pengarah Urusan Kumpulan DRB HICOM Berhad, Datuk Seri Syed Faisal Albar menyatakan bahawa perincian tentang garis masa produksi, adakah ia akan dibawa masuk sebagai model CBU dahulu atau mempunyai sejumlah kandungan alat ganti tempatan akan diperhalusi kemudian.

Tidak memberi bayangan berapakah harga Boyue nanti, saya menganggarkan ia mungkin ditawarkan pada harga sekitar RM80,000 hingga RM90,000 seunit, bergantung kepada varian.

Jika benar, pesaing lain sekelas dengannya mungkin akan berdepan masalah besar. Sama-sama kita nantikan.

Sementara itu, layan dulu galeri foto di bawah.

GALERI

Google ads
Back to top button