PROTON TAWAR SKIM HARGA SEMENTARA – BAUCAR SERVIS BERI FAEDAH KEPADA PELANGGAN

SHARE

Malaysia mengalu-alukan Tun Dr Mahathir bin Mohamed sebagai Perdana Menteri ke-7 pada 10 Mei 2018. Menerusi perlantikannya, beberapa perubahan dasar turut diumumkan.

Apa yang paling menarik perhatian PROTON ialah potensi pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), yang menjadi salah satu manifesto diketengahkan oleh Pakatan Harapan baharu ketika kempen pilihan raya.

Pengumuman yang dibuat pada 16 Mei menetapkan GST pada kadar sifar dan akan berkuat kuasa mulai 1 Jun 2018.

Sebagai langkah persediaan, PROTON telah memutuskan untuk menawarkan skim harga sementara bagi memastikan pelanggan mendapat faedah daripada perubahan dasar tersebut.

Justeru, semua kereta PROTON yang dijual dan didaftarkan dari 16 Mei hingga 31 Mei 2018 akan diberi baucar perkhidmatan yang bersamaan dengan nilai perbezaan antara harga kereta semasa dan baharu selepas kadar sifar GST berkuat kuasa.

 

Berjalan serentak dengan promosi jualan sedia ada bermula Mei hingga 30 Jun 2018, harga kereta Proton akan dikekalkan tanpa mengira sebarang perubahan kepada dasar kerajaan mengenai GST.

Jika terdapat pengurangan harga semasa tempoh promosi, PROTON akan membayar semula kadar perbezaan kepada pelanggan dalam bentuk baucar perkhidmatan.

Sekiranya harga meningkat, pelanggan tidak perlu membayar lebihan harga antara harga baharu dan lama, dengan syarat kereta mereka telah didaftarkan sebelum akhir bulan Jun.

PROTON juga menawarkan diskaun 6% bagi servis berkala (kos buruh dan pertukaran alat-alat ganti berjadual sahaja) kepada semua pemllik yang membawa kereta mereka untuk diservis di pusat servis yang diiktiraf. Inisiatif ini bermula pada 19 Mei sehingga 31 Mei 2018

Pelanggan yang menghantar kereta mereka untuk diservis dari 16 – 18 Mei 2018, akan diberi diskaun 6% yang boleh digunakan pada servis akan datang (tertakluk kepada resit servis terdahulu).

Ansuran sifar. Kadar faedah sifar

Tawaran yang diberikan ini adalah tambahan kepada tawaran sedia ada iaitu promosi Kosong-kosong di mana pelanggan yang membeli Proton Iriz (varian Eksekutif dan Premium), Proton Ertiga (semua varian) dan Proton Exora (semua varian) yang membuat pinjaman selama 9 tahun dengan Hong Leong Bank layak mendapat pembiayaan tanpa faedah untuk tahun pertama.

Manakala pelanggan yang memilih Proton Saga atau Proton Persona dan membuat pembiayaan pembelian selama 7 tahun dengan PROTON Commerce layak menikmati ansuran 3 bulan percuma atas pinjaman mereka, tertakluk kepada terma dan syarat.

“PROTON menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat. Walaupun GST berkadar sifar hanya berkuatkuasa pada 1 Jun, kami telah memutuskan untuk memberikan ganjaran kepada pelanggan sebagai tanda terima kasih di atas sokongan mereka dan sempena bulan Ramadan,” kata Naib Presiden Jualan dan Pemasaran PROTON, Abdul Rashid Musa.

Share this post

scroll to top