ISUZU D-MAX UTAH LUXE – BERGAYA DENGAN RIM CORAK BUNGA

SHARE

Tajuk artikel ini kedengaran seperti jenaka namun percayalah ia terbit dari pengakuan ikhlas selepas melihat roda aloi 18 inci yang digunakan pada varian terbaru Isuzu D-Max di United Kingdom.

Trend rim daripada pengeluar kenderaan sekarang ini sama ada berbentuk kipas atau bercorak bulat dan bunga seperti ini.

Nampaknya Isuzu juga mengikut trend ini apabila melancarkan varian baharu Isuzu D-Max Utah Luxe di UK.

Satu perkara lagi tentang Isuzu ialah syarikat ini tidak pernah kering dengan idea untuk D-Max. Pikap ini mempunyai banyak edisi istimewa tidak kira sama ada di UK ataupun di Malaysia.

Sebagai contoh pada 27 Julai lalu baru sahaja melancarkan D-Max X Series yang tampak bergaya dan terhad kepada 210 unit sahaja.

Ini adalah strategi pengeluar pikap memandangkan kitar hayat sesebuah model tidak seperti kereta massa yang mempunyai tempoh pasaran lima hingga enam tahun.

Adalah kebiasaan untuk sesebuah model pikap berada di pasaran di antara lapan hingga sepuluh tahun. Jadi tidak hairanlah pikap mempunyai pelbagai varian dalam tempoh tersebut supaya kekal relevan.

Di UK, varian Utah memang sedia ada di pasaran manakala versi Luxe ini hanya dikeluarkan dalam jumlah terhad iaitu 75 unit sahaja. 

Perubahan yang dilakukan tidak banyak dan lebih kepada kemaskini supaya tampak lebih mewah. Kelengkapan Isuzu D-Max Utah adalah seperti berikut:

  • Roda aloi 18 inci potongan berlian (Diamond Cut)
  • Pelindung bamper depan
  • Pelindung bonet
  • Bantuan pintu kargo Pro-lift – Mengurangkan berat pintu sehingga 95 peratus supaya lebih senang untuk dibuka dan ditutup
  • Alas kaki khas

D-Max Utah Luxe boleh didapati dalam pelbagai warna standard Utah namun lebih menyerlah melalui pilihan warna seperti Splash White, Titanium Silver dan Cosmic Black Mica.

Harga Isuzu D-Max Utah Luxe manual ialah GBP 26,159 (RM 136,860) (tidak termasuk VAT) dan GBP 27,159 (RM 142,138) untuk transmisi automatik.

Di UK, Isuzu D-Max menerima banyak pengiktirafan seperti ‘Pick Up of The Year’ dari Anugerah WhatVan? 2018, ‘Most Reliable Pickup’ oleh Professional Pickup & 4X4 magazine untuk tahun 2018, ‘Best Workhorse Pickup’ oleh Trade Van Driver untuk tahun 2018 dan ‘Best Pickup 2018’ oleh Scottish Field.

BACA: ISUZU COMO F1 – TRAK PIKAP SUPER DENGAN NADI F1 SEBENAR

BACA: ISUZU COMO F1 – TRAK PIKAP SUPER DENGAN NADI F1 SEBENAR

Share this post

scroll to top