Buletin

ISUZU MALAYSIA KEMBALI MENJADI PENERAJU

Rangkaian trak Isuzu ELF bakal dikuasakan oleh barisan enjin commonrail terkini Isuzu. Ini menjadikan Isuzu Malaysia sebagai pengeluar trak dari Jepun antara yang terawal menggunakan enjin ultra efisien itu secara eksklusif di pasaran Asia.

Berdasarkan kepada data yang dikumpul oleh Isuzu Malaysia, dengan enjin baharu ini, para pengguna trak bukan sahaja dapat merasai sendiri kuasa dan prestasi tork yang luar biasa, malah mereka juga akan menikmati penjimatan bahan api yang lebih baik sehingga 7.5 peratus berbanding versi enjin diesel terdahulu.

ISUZU UNGGULI PASARAN MALAYSIA

Enjin pada model-model NPR 2017 itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan baharu. Gabungan itu sekali gus memberikan trak-trak baharu tersebut daya mengangkut muatan dan prestasi penjimatan bahan api yang lebih baik.

Isuzu ELF telah mengukuhkan posisinya sebagai trak pilihan utama di Malaysia dengan menjadi rangkaian trak paling laris untuk tujuh tahun berturut-turut. Pada tahun 2016 sahaja, sebanyak 5,548 unit Isuzu ELF telah berjaya dijual.

Dengan penambahbaikan terkini dan pelbagai ciri keselamatan yang baru, Isuzu Malaysia dijangka dapat mengekalkan dominasinya dalam segmen trak tugas ringan. Dengan sasaran jualan sebanyak 6,000 unit, ia memberikan pegangan pasaran yang dominan kepada syarikat sebanyak 40 peratus.

Ketika memperkenalkan trak Isuzu ELF baharu tahun 2017 kepada para pengedar, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka menyatakan bahawa penambahbaikan pada trak itu selari dengan komitmen syarikat untuk menawarkan pengalaman penggunaan trak yang lengkap kepada pelanggan di Malaysia.

“Melalui prinsip Kaizen, kami akan terus menambah baik dan melakukan inovasi ke atas produk serta operasi demi memastikan kepuasan pelanggan,” kata Matsuoka.

Selain enjin commonrail yang efisien, rangkaian Isuzu ELF 2017 juga akan menggunakan tayar tanpa tiub. Tayar tersebut bukan sahaja menawarkan kapasiti beban yang lebih tinggi, malah menambah baik aspek rintangan golekan yang membuatkannya kurang panas, seterusnya dapat memanjangkan hayat bunga tayar dan mengurangkan kos operasi.

Dengan sistem pengambilan udara yang telah direka semula, saiz penapis udara telah berjaya dikurangkan dan diletakkan pada posisi lebih tinggi. Ini membolehkan kenderaan bergerak dengan lebih yakin ketika mengharungi jalan yang ditakungi air tanpa mengganggu aspek keluasan ruang kabin dan kargo.

Dalam usaha memastikan pelanggan dapat menggunakan kenderaan Isuzu mereka sebaik-baiknya, model Isuzu ELF 6 roda akan terus ditawarkan dengan casis paling lebar dalam kelasnya. Dengan ukuran kelebaran 850mm, rekaan ini membolehkan trak dipasang dengan badan kargo yang lebih besar. Pada masa yang sama kestabilan kenderaan dapat dikekalkan.

Isuzu NQR juga menerima rekaan gandar hadapan baharu yang membolehkannya mengangkut kapasiti beban lebih tinggi sehingga 3,300kg. Peningkatan daripada 3,100kg sebelum ini membolehkan agihan berat yang lebih seimbang ke roda hadapan.

Bagi mematuhi peraturan keselamatan terkini JPJ, trak Isuzu ELF baharu dilengkapi dengan satu suis pelarasan lampu utama pada papan pemuka. Suis ini membolehkan pemandu untuk melaras suluhan cahaya lampu berdasarkan kepada beban yang dibawa oleh trak.

BACA: ISUZU D-MAX DILANCARKAN DENGAN ENJIN LEBIH KECIL – 1.9 TURBO DIESEL

BACA: SELAMAT ULANG TAHUN KE-110 ISUZU MOTORS!

Ciri-ciri lain yang ada pada 2017 Isuzu ELF baharu termasuklah lampu kabus belakang, lampu penanda bumbung (untuk model 6 tayar dan ke atas), satu unit cermin cembung lebar serta pengehad kelajuan yang dikawal secara elektronik. Dengan implementasi ciri-ciri baru yang mematuhi peraturan ini, harga rangkaian Isuzu ELF 2017 naik sebanyak lima peratus.

Trak Isuzu ELF 2017 kini sudah boleh ditempah di semua pengedar sah Isuzu di seluruh negara bermula 1 Mac 2017. Untuk senarai penuh pengedar, sila hubungi 1-300-88-1133 atau layari laman web www.isuzu.net.my

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button