Buletin

JAGUAR LANCAR SUV ELEKTRIK PERTAMA I-PACE – 400PS & TORK 696Nm

Jaguar baru sahaja melancarkan model elektrik pertamanya, I-PACE. Jentera ini menjanjikan prestasi, teknologi AI generasi seterusnya dan praktikaliti sebuah SUV.

Menggunakan bateri Lithium-ion dengan 432 sel berkuasa 90kWh, SUV itu mampu mencapai jarak sejauh 475km sekali caj.

Pemandu boleh mengecas sehingga 80 peratus dalam masa hanya 85 minit menggunakan pengecas 50kW DC. Jika pengecas pantas 100kW, tempoh tersebut boleh disingkatkan menjadi 40 minit sahaja.

Kalau menggunakan soket biasa di rumah (7kW), jentera itu akan dicaj sehingga 80 peratus dalam tempoh 10 jam.

Jaguar memasang dua motor elektrik pada setiap gandar, sekali gus menawarkan kuasa mencecah 400PS dan tork 696Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke keempat-empat buah roda.

Pecutan dari 0 hingga 100km/j hanya memakan masa 4.5 saat. Karekteristik pemanduan I-PACE dimantapkan dengan suspensi udara (optional) dan agihan berat 50:50, terima kasih kepada lokasi bateri diletakkan.

Kelihatan seperti sebuah coupe dan dipengaruhi oleh reka bentuk supercar ikonik C-X75, I-PACE sememangnya cantik. Untuk bahagian dalaman pula, ia menawarkan ruang kabin yang luas, selesa dan mewah.

I-PACE didatangkan dengan sistem infotainmen Touch Pro Duo Jaguar yang baru. Ia menggabungkan skrin sentuh, alat pengesan dan butang kawalan yang intuitif. Tidak ketinggalan sistem navigasi baharu dan Amazon Alexa Skill yang pertama pada model Jaguar.

Di pasaran UK, Jaguar I-PACE ditawarkan pada harga £63,495 (RM342,400) dan sudah boleh ditempah.

GALERI 

Google ads
Back to top button